Ini 11 Lagu Patriotik Aktifkan Mod ‘Saya Anak Malaysia’
Malaysia, bumi yang penuh keberkatan, telah menjejakkan kaki di pentas kemerdekaan pada tahun 1957.
Sejak itu, dari tahun ke tahun, negara kita yang bertuah ini terus melangkah maju, semakin dikenali dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Sama ada dalam bidang ekonomi, kebudayaan, pendidikan, mahupun sukan, nama Malaysia kini semakin harum di persada dunia, menjadi lambang kejayaan dan kebanggaan kita.
Tahun ini, kita menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-67 dalam suasana yang penuh meriah.
Justeru, SK dengan bangganya ingin berkongsi 10 lagu patriotik yang telah lama bersemadi dalam hati rakyat Malaysia.
Lagu-lagu ini menjadi simbol semangat kebangsaan kita, mampu mengaktifkan mod ‘Saya Anak Malaysia’ dalam setiap jiwa anak bangsa.
Setia – Francissca Peter, Man Bai, Zainal Abidin, Hael Husaini, Syamel, Ara Johari, Nicole, Ernie Zakri (2018)
Lagu “Setia” yang asalnya dinyanyikan oleh Francissca Peter, merupakan hasil karya Datuk Ahmad Dasilah dan Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat.
Lagu ini diberi nafas baru dengan gandingan penyanyi tersohor dan berbakat tanah air.
Arena Cahaya – Zee Avi (2015)
Lagu ini, yang merupakan runut bunyi bagi filem Ola Bola, dicipta oleh Zee Avi atau Izyan Alirahman.
Dengan bantuan Rendra Zawawi, susunan muzik lagu ini disusun hanya dalam tempoh sebulan.
Ia ditulis dalam dua bahasa, iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, untuk menggambarkan kepelbagaian bumi Malaysia.
Malaysia Truly Asia – Datuk Khatijah Ibrahim (2002)
Lagu “Malaysia Truly Asia” yang asal dinyanyikan oleh Datuk Khatijah Ibrahim bersempena dengan Citrawarna Malaysia, dicipta oleh komposer veteran Datuk Ahmad Nawab.
Lagu ini turut dirakam dalam 20 bahasa oleh 20 penyanyi dari seluruh dunia untuk mempromosikan pelancongan Malaysia.
Gemuruh – Faizal Tahir (2007)
Lagu ini, yang disusun oleh Aubrey Suwito, menjadi kegemaran ramai sejak dimuatkan dalam album sulung Faizal Tahir bertajuk “Aku. Kamu. Muzik.”.
Biarpun sudah lebih 10 tahun, semangat patriotik yang disampaikan dalam lagu ini masih kuat dirasai.
Gemuruh Suara – Team Malaysia (2011)
Lagu ini asalnya adalah kolaborasi antara Telekom Malaysia (TM) dan Majlis Sukan Negara (MSN).
Lagu ini dihasilkan untuk menyemarakkan semangat atlet Malaysia semasa Sukan SEA ke-26 di Indonesia.
Dicipta oleh Norman, Yusry dan Edry dari kumpulan KRU, lagu ini turut mendapat sentuhan lirik daripada Ramli Sarip, Caprice dan Dato’ Shafri Mohamad.
Negaraku – Faizal Tahir, Joe Flizzow, Altimet dan SonaOne (2016)
Lagu ini merupakan gabungan karya Faizal Tahir, Joe Flizzow, Altimet dan SonaOne, dihasilkan sempena Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2016.
Lagu ini digubah oleh Ezra Kong, Mike Chan dan Faizal Tahir dari Faithful Music, juga ditulis oleh gabungan empat penyanyi ini juga.
Tanggal 31 – Sudirman (1982)
“Tanggal 31” adalah antara lagu patriotik yang paling popular setiap kali menjelang bulan kemerdekaan.
Liriknya yang ditulis oleh Ahmad C.B. dan dinyanyikan dengan penuh perasaan oleh Allahyarham Sudirman pada tahun 1982, menjadi kenangan abadi rakyat Malaysia.
So Many Hands – Mia Palencia (2017)
Lagu tema Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 ini, dinyanyikan oleh Mia Palencia, dilancarkan pada 13 Julai 2017.
Lagu ini turut digunakan dalam iklan rasmi KL2017 bertajuk ‘It Takes a Nation to Raise a Champion (Bersama, Kita Lahirkan Juara)’.
Ia adalah hasil ciptaan sepenuhnya Mia Palencia dan diterbitkan oleh Datin Seri Tiara Jacquelina.
Saya Anak Malaysia – Dr Sam (2016)
Lagu “Saya Anak Malaysia” yang dinyanyikan oleh Dr Sam Rasputin atau nama sebenarnya, Salim Ibrahim, terkenal dengan single ciptaan komposer M Nasir dan lirik oleh S Amin Shahab.
Lagu ini sering dijadikan lagu patriotik dan sering diputarkan di corong radio menjelang bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia.
Warisan – Sudirman (1982)
Lagu “Warisan” ciptaan sepenuhnya Allahyarham Syed Haron, membawa mesej mendalam tentang pengorbanan dan perjuangan demi kemerdekaan.
Lirik awalnya, ‘Di sini lahirnya sebuah cinta’ menjadi tema sambutan ulang tahun kemerdekaan Malaysia ke-57 pada tahun 2014.
Standing in the Eyes of the World – Ella (1998)
Lagu ini, yang menjadi tema Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur, dicipta oleh David Gates dan Datuk Wah Idris, serta dinyanyikan oleh Ella.
Ella menyampaikan lagu ini dalam dua versi, iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, dengan penuh emosi.
Bahkan sehingga kini, lagu ini masih terkenal dan mampu membangkitkan semangat patriotik dalam diri setiap rakyat Malaysia.
BACA: Cecah Hampir 40 Juta ‘Subscribers’ Dalam 72 Jam, Ronaldo Raih Pendapatan Lumayan Dari YouTube
BACA: Video Tular Orang Awam Selamatkan Mangsa Kereta Terbabas Jatuh Sungai
BACA: Istiadat Persandingan Tengku Puteri Afzan, FD Idzham Berlangsung Penuh Tradisi
Sumber: Astro Gempak