Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Waktu pengajaran dan pembelajaran (PdP) Matematik di sekolah rendah akan ditingkatkan kepada 607 jam sepanjang enam tahun persekolahan menerusi pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata peningkatan itu membabitkan tambahan 32 jam berbanding 576 jam sebelum ini, menurut Astro AWANI.
Katanya, komitmen berkenaan selaras dengan dapatan laporan Southeast Asia Primary Learning Metrics (SEA-PLM) 2024 sebagai langkah memperkasa penguasaan asas literasi dan numerasi dalam kalangan murid.
"Kementerian Pendidikan sentiasa komited memastikan murid menguasai kemahiran asas Matematik dari peringkat prasekolah hingga menengah.
"Peningkatan waktu PdP ini memberi lebih peluang kepada murid memahami konsep Matematik secara mendalam serta mengaplikasikannya dalam situasi harian.
"Pertambahan masa juga membolehkan guru memberi perhatian khusus dan melaksanakan intervensi kepada murid yang memerlukan sokongan," maklumnya.
Kenyataan tersebut sebagai jawapan bertulis kepada Datuk Seri Rafizi Ramli (PH-Pandan) yang menyentuh soal langkah kerajaan dalam meningkatkan masa pengajaran Matematik daripada 576 jam kepada sekurang-kurangnya 1,000 jam.
Ia bagi memastikan Malaysia setanding dengan negara lain seperti Kemboja, Myanmar dan Filipina.
Tambah Fadhlina, pihak kementerian ambil maklum berkenaan kebimbangan peruntukan waktu PdP Matematik berbanding beberapa negara ASEAN yang turut serta SEA-PLM.
"Justeru penelitian terperinci dibuat terhadap struktur masa pengajaran bagi memastikan kesesuaiannya dengan keperluan semasa.
"Berdasarkan rekod dasar terdahulu, semasa pelaksanaan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) mulai 1993, waktu PdP Matematik diperuntukkan sebanyak 3.5 jam seminggu.
"Bagaimanapun, ketika Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) diperkenalkan pada 2011, peruntukan itu dikurangkan kepada tiga jam seminggu susulan pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), dengan fokus kepada pengukuhan bahasa. Peruntukan itu dikekalkan dalam KSSR (Semakan 2017)," katanya.
Sebagai penjelasan, Fadlina memaklumkan waktu PdP Matematik bawah KP2027 bagi Tahap I dinaikkan kepada 3.5 jam seminggu. Bagi Tahap II dan Tahap III, waktu PdP dinaikkan kepada tiga jam seminggu.
Dalam pada itu, program intervensi menerusi Program Literasi dan Numerasi Sekolah Rendah (PLaN) juga bakal dilaksanakan. Langkah ini bertujuan sebagai persediaan sebelum melangkah ke peringkat menengah.
"Matematik merupakan antara mata pelajaran utama yang menjadi fokus dalam pelaksanaan PLaN," tambahnya.
Jelas beliau, gandingan peningkatan masa pengajaran Matematik dan pelaksanaan intervensi melalui PLaN dilihat menjadi langkah strategik dalam memperkukuh asas literasi dan numerasi murid.