“Tiada Sampah..,” Pelancong Puji Kebersihan Stesen MRT Malaysia
Dalam menjalani kehidupan seharian di kota raya, mungkin kita tidak sedar akan kelebihan tanah air kita berbanding negara maju yang lain. Biarpun Malaysia tergolong dalam negara membangun, namun kemudahan pengangkutan awam di negara ini layak dipuji.
Malah, kemudahan pengangkutan awam di kota raya acap kali menerima pujian pelancong dari luar negara.
Baru-baru ini, seorang pengguna TikTok yang melancong ke Malaysia memuat naik rakaman video ketika berada di salah satu stesen MRT. Wanita bernama Dana Wang itu memuji tahap kebersihan stesen berkenaan.
“MRT di Kuala Lumpur sangat bersih dan dijaga dengan baik. Tak dapat dibandingkan dengan kereta api bawah tanah New York,” ujarnya.
Video berdurasi 32 saat itu menunjukkan keadaan stesen MRT yang terjaga, tanpa sampah-sarap yang dibuang merata. Hatta dinding kawasan tersebut turut tidak tercemar dengan sebarang kotoran.
“Orang Amerika tidak akan percaya bila nampak ni sebab Malaysia merupakan negara yang sedang membangun tetapi sistem kereta api bawah tanahnya mengalahkan sistem di Amerika Syarikat.
“Ini stesen MRT di ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur. Stesen ini sangat bersih sehingga dapat melihat pantulan di lantai kerana ia memang bersih. Sekali pandang, boleh tahu stesen ni dijaga dengan baik.
“Tiada sampah, kotoran atau grafiti mahupun gelandangan kelihatan,” jelas wanita berkenaan.
Dana turut menunjukkan keadaan di palang laluan masuk yang meriah dengan lampu. Wanita berkenaan juga memuji kebersihan bahagian dalam gerabak MRT yang dinaikinya.
“Kawasan palang keluar masuk ini dihiasi lampu-lampu yang menarik. Ini pula keadaan di platform. Lihatlah betapa bersihnya di sini. Kereta api ni tiada pemandu dan keadaan di dalam gerabak pun memang bersih,” pujinya.
Malah, pelancong tersebut amat tertarik dengan penyediaan ruang khas wanita sahaja di platform, juga di dalam gerabak MRT.
“Mereka juga sediakan kawasan untuk wanita sahaja yang mana penumpang wanita boleh pilih untuk duduk di situ dengan lebih selesa,” katanya dengan teruja.
@danawang The MRT in Kuala Lumpur is so clean and well maintained! Cannot even compare this to the NYC subway. . . . . . . #american #america
BACA: Kehabisan Stok, Penjara Kajang Henti Sementara Jualan Biskut Raya
Sumber: Tiktok @danawang