Redah Banjir, Pemandu Treler Dipuji Tumpangkan Penunggang Motor
Keadaan di Johor yang dilanda banjir menyebabkan ramai terkandas ketika berada dalam perjalanan ke destinasi masing-masing. Hujan berterusan sejak pagi mengakibatkan beberapa kawasan dinaiki air dalam kadar yang cepat.
Biarpun di saat menghadapi ujian sebegini, masih ada insan berhati mulia yang menghulurkan tangan memberi bantuan sesama mereka.
Tular di media sosial, sebuah lori treler meredah jalan yang ditenggelami air banjir dengan membawa muatan luar biasa. Menerusi video perkongsian pengguna Facebook, Md Firdausb dan juga pengguna TikTok, Adinda Selatan, treler tersebut dilihat menumpangkan lebih 15 penunggang motosikal yang dipercayai terkandas berikutan banjir sehingga jalan tidak dapat dilalui.
Dengan disaksikan mangsa banjir yang berhenti di bahu jalan, rombongan itu kelihatan seperti perarakan sambutan Hari Merdeka dengan senyuman terukir di wajah mereka. Kejadian tersebut dipercayai berlaku di kawasan Pasar Borong Pandan, Johor Bahru.
Menurut Firdaus ketika ditanya SK, keadaan banjir di sana masih belum surut.
“Hujan semakin reda tapi paras air kekal,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya mendoakan kesejahteraan buat pemandu lori berhati mulia tersebut.
https://www.facebook.com/reel/649273674416466
Setakat petang tadi, seramai 2,550 mangsa telah berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), berdasarkan laporan terkini yang disiarkan oleh Media Digital Johor. Difahamkan, sebanyak 43 PPS telah dibuka di seluruh negeri.
Malah menurut Bernama, 20 buah sekolah turut terjejas berikutan banjir yang berlaku apabila hujan berterusan sejak pagi Rabu.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri, Aznan Tamin memaklumkan tujuh daripada 20 buah sekolah itu dijadikan PPS dan dua lagi ditenggelami banjir. Dalam pada itu, 11 buah sekolah pula dilapor terputus hubungan.
Katanya lagi, kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bakal dilaksanakan bagi sekolah yang terjejas.
“Setakat ini, seramai 101 murid di tiga daerah terjejas banjir direkodkan sebagai mangsa banjir,” ujarnya.
Dalam siaran berita yang lain, arahan mempercepatkan pelaksanaan projek tebatan banjir di Johor telah dikeluarkan oleh kerajaan negeri, kata Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi. Arahan tersebut dikeluarkan bagi mengurangkan risiko banjir berulang.
“Saya akan memastikan segala usaha yang dirancang dilaksanakan dengan segera demi kesejahteraan dan keselamatan Bangsa Johor.
“Keadaan banjir di Johor masih membimbangkan,” maklum beliau.
BACA: Keadaan Terkini Banjir Di Johor, Jumlah Mangsa Makin Meningkat
Sumber: Adinda Selatan, Md Firdausb, Bernama