Utama

Berita

Berita

Berita

Sukan

Politik

Berita

Berita

Berita

Berita

Sukan

Politik

Berita

Krisis Bersatu: Bahagian Lembah Pantai, Larut Umum Bubar Serta-merta
KUALA LUMPUR, 15 Feb (Bernama) -- Bersatu Bahagian Lembah Pantai dan Larut mengumumkan pembubaran kedua-dua bahagian itu, berkuat kuasa serta-merta.
Menerusi rakaman yang disiarkan di Facebook rasmi Bersatu, kepemimpinan Bersatu Larut menyatakan tindakan itu dibuat kerana hilang kepercayaan terhadap presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Ketua Bersatu Larut Mohd Noh Md Daud berkata keputusan itu dibuat selepas menerima mandat penuh daripada kepimpinan pelbagai peringkat di bahagian berkenaan.
"Sebanyak 48 cawangan di bawah Bersatu Bahagian Larut mengisytiharkan pembubaran bahagian itu kerana hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan parti yang diterajui Muhyiddin.
“Keputusan ini turut diperkuat dengan pemecatan Timbalan Presiden Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ketua Bersatu Larut Mohd Hassundi Hamzah,” katanya.
Sementara itu, dalam siaran berasingan, Ketua Bersatu Lembah Pantai Datuk Muqharabbin Mokhtarrudin berkata keputusan pembubaran itu dibuat tanpa sebarang paksaan dan surat pemakluman mengenainya akan dihantar ke ibu pejabat Bersatu.
“Kami berterima kasih kepada Bersatu atas peluang yang diberikan dan insya-Allah akan terus menyumbang kepada rakyat setempat melalui cara tersendiri termasuk menerusi NGO (pertubuhan bukan kerajaan).
“Semoga terus maju jaya dan kami memohon maaf. Insya-Allah kita akan berjumpa lagi di lapangan yang berlainan,” katanya.
Jumaat lepas, Bersatu dilaporkan memecat 17 ahlinya termasuk beberapa pemimpin Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti merangkumi empat Ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Selain Hamzah yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen, turut dipecat ialah Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad, Ahli Parlimen Padang Rengas Kapten Azahari Hasan dan Ahli Parlimen Gerik Fathul Huzir Ayob.
ADUN yang dipecat pula ialah wakil Sungai Manik yang juga Ahli MPT Datuk Zainol Fadzi Paharudin, wakil Bemban dan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Dr Mohd Yadzil Yaakub serta Setiausaha Bersatu Sabah Yunus Nurdin yang juga Ketua Bersatu Libaran.
Keahlian mereka ditamatkan kerana melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu namun mereka berhak mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat berkenaan dikemukakan.