Bayi Lelaki Baru Lahir & Masih Bertali Pusat Ditemui Ditinggalkan Atas Meja Gerai Makan
Seorang bayi lelaki baru lahir yang masih bertali pusat telah ditemui ditinggalkan di sebuah gerai jualan di Batu 5, Jalan Tengah Nipah, Kampung Jaya Baru, di sini, hari ini.
Menurut Awani, bayi berkenaan ditinggalkan dalam keadaan tidak berpakaian dan masih mempunyai tali pusat, dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, seorang pemilik gerai yang berusia 30 tahun telah menemui bayi tersebut ditinggalkan berseorangan.
Jelasnya, lelaki itu kemudian terus menghubungi pihak polis dan pihaknya terus mengerahkan sepasukan anggota untuk ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.
“Bayi seberat 2.9 kilogram itu ditemui ketika lelaki terbabit baru saja melakukan persiapan untuk membuka gerai miliknya.
“Bayi terbabit terus dibawa ke Hospital Lahad Datu menggunakan ambulans untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.
Ekoran daripada itu, Rohan Shah berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu ditalian 089-881255.
Katanya, maklumat juga boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat Inspektor Marlisa Maedika @ Merdeka di talian 016-2194554.