Agong & Raja Permaisuri Luang Masa Memancing Bersama, Berjaya Naikkan Siakap Merah & Jenahak
KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Baginda Raja Permaisuri Agong pada petang semalam berkenan melakukan aktiviti rekreasi memancing di sebuah kolam pancing.
Baginda dan Raja Permaisuri dilaporkan telah melakukan aktivit tersebut di kolam pancing Afprow 3, Templer Saujana Rawang, Selangor.
Perkongsian aktiviti Baginda bersama Raja Permaisuri itu dibuat oleh Facebook rasmi milik Istana Negara pada pagi tadi.

Turut berangkat bersama adalah paduka anakanda Seri Paduka Baginda YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera dan YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana.
Semasa menjalankan aktiviti tersebut, Baginda telah berjaya menaikkan seekor ikan Siakap Merah dan seekor lagi ikan Jenahak yang masing-masing seberat 2.5 kilogram seekor.

Usai memancing Baginda dan Raja Permaisuri sempat meluangkan masa menyantuni serta beramah mesra bersama pengunjung dan para pemancing yang berada di kolam ikan tersebut.
Selain itu, Baginda berdua turut berkenan bersantap di sebuah restoran yang berada berdekatan dengan kolam pancing bersama pengunjung yang hadir ke restoran berkenaan.

Sumber: Istana Negara