Siakap Keli
calon SPM gagal semua
Kredit: KPM

Keputusan SPM 2024: 1,789 Calon Peroleh Keputusan Semua G

Keputusan SPM 2024: 1,789 Calon Gagal Semua Mata Pelajaran

Seramai 1,789 calon peperiksaan mendapat gred G dalam semua mata pelajaran bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2024.

Perkara tersebut diumumkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi siaran langsung Majlis Pengumuman Analisis Keputusan Peperiksaan SPM Tahun 2024 di Putrajaya, hari ini.

Berdasarkan Jadual Pencapaian Calon Peperiksaan SPM 2024 Berbanding Tahun 2023 yang dikeluarkan pihak KPM, angka tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 322 calon berbanding 1,467 calon SPM tahun 2023.

Manakala seramai 116,108 calon dilaporkan mendapat keputusan Gagal sekurang-kurangnya satu mata pelajaran SPM bagi tahun 2024.

Jumlah ini bagaimanapun menunjukkan penurunan berbanding seramai 119,393 calon yang meraih keputusan yang sama pada SPM 2023.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Haji Azman Haji Adnan berkata seramai 14,179 calon mendapat keputusan Cemerlang merangkumi gred A+, A dan A- bagi semua mata pelajaran.

Angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak 2,466 calon berbanding keputusan peperiksaan SPM pada tahun 2023.

Seramai 86,040 mendapat keputusan sekurang-kurangnya Kepujian bagi semua mata pelajaran merangkumi gred B+, B, C+ dan C.

Jumlah ini turut menunjukkan peningkatan berbanding keputusan peperiksaan SPM tahun 2023 iaitu dengan jumlah 83,112 calon.

“Angka ini menunjukkan bahawa berlakunya peningkatan calon-calon kita yang memperoleh Kepujian sebanyak 2,928 calon, iaitu 0.4 peratus,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan seramai 136,791 calon peperiksaan SPM tahun 2024 mendapat sekurang-kurangnya Lulus bagi semua mata pelajaran merangkumi gred D dan E.

Jumlah ini menunjukkan peningkatan seramai 5,302 calon berbanding 131,489 calon pada tahun 2023.

“Secara keseluruhannya, sebanyak 59 daripada 95 mata pelajaran telah menunjukkan peningkatan prestasi. 30 mata pelajaran menunjukkan penurunan prestasi manakala satu mata pelajaran menunjukkan pengekalan prestasi berbanding SPM 2023 berdasarkan kepada purata gred mata pelajaran,” jelas beliau.

Beliau turut menambah, terdapat mata pelajaran yang menggunakan format peperiksaan baharu bagi SPM tahun 2024.

“Dalam pada itu, lima mata pelajaran adalah mata pelajaran baharu dengan format baharu yang pertama kali diperkenalkan mulai tahun 2024,” maklumnya.

Sumber: Facebook Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)

BACA: Keputusan SPM 2024: 14,179 Calon SPM Peroleh Semua A

BACA: Cara Semak Keputusan SPM 2024

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.