Utama

Berita

Trivia

Sukan

Berita

Berita

Berita

Berita

Trivia

Sukan

Berita

Berita

Berita

Bank Terbesar Jepun Wajibkan Cuti Paterniti Selama Sebulan
Salah sebuah bank terbesar di Jepun, Sumitomo Mitsui Banking Corp akan mewajibkan para pekerjanya mengambil cuti paterniti sekurang-kurangnya selama sebulan, lapor portal Kyodo News.
Difahamkan, langkah tersebut diambil sebagai usaha menggalakkan penyertaan dalam penjagaan anak serta memperbaiki persekitaran kerja.
Sebagai sebahagian daripada langkah yang akan dilaksanakan menjelang tahun kewangan 2028, bank itu akan membayar bonus sebanyak 50,000 yen (kira-kira RM1,411) kepada kakitangan yang mengambil cuti penjagaan anak.
Di samping itu, rakan sekerja mereka turut menerima bonus yang sama sekiranya perniagaan dapat beroperasi dengan stabil sepanjang tempoh ketiadaan mereka.
“Kami akan menggalakkan inisiatif untuk mengukuhkan daya tahan pasukan, dengan melihat ketiadaan kerana penjagaan anak sebagai satu peluang,” kata syarikat itu yang mengambil kira bahawa pekerja akan mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat persediaan.
Langkah baru ini akan dilaksanakan selepas bank tersebut mencapai kadar pengambilan cuti paterniti sebanyak 100 peratus bagi tahun 2023. Namun begitu, tempoh purata cuti hanyalah 12 hari, iaitu jauh di bawah sasaran selama 30 hari.
Kyodo News melaporkan pekerja yang mempunyai anak di bawah umur dua tahun tertakluk kepada langkah cuti paterniti itu.
“Sasaran kami adalah untuk menghapuskan stereotaip jantina dan mewujudkan budaya, di mana lelaki yang mengambil cuti paterniti dan turut serta dalam penjagaan anak dilihat sebagai perkara biasa,” menurut kenyataan bank tersebut.
Difahamkan, langkah ini dibuat ketika semakin banyak syarikat di Jepun memperkenalkan insentif kepada rakan sekerja pekerja yang mengambil cuti penjagaan anak.
Ia bertujuan menggalakkan pekerja mengambil cuti serta mengurangkan rasa tidak adil di kalangan mereka yang menghadapi peningkatan beban kerja
Menurut tinjauan kerajaan, sebanyak 40.5 peratus bapa yang mempunyai bayi mengambil cuti paterniti pada tahun 2024, namun peratusan ini masih jauh lebih rendah berbanding 86.6 peratus ibu yang mengambil cuti bersalin.
Sumber: Kyodo News