Siakap Keli
silap label peta
Proton silap melabel kedudukan Sabah dan Sarawak di peta Malaysia. Kredit: Sinar Harian

Tersilap Label Sabah & Sarawak Dalam Peta, Proton Mohon Maaf

Tersilap Label Sabah & Sarawak Dalam Peta, Proton Mohon Maaf

Pengeluar kereta nasional, Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton) memohon maaf di atas kesilapan melabelkan negeri Sabah dan Sarawak di dalam peta.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook, Proton berkata mereka amat menyesali kesilapan tersebut.

BACA: PROTON Anjur Peraduan Teka Nama Model PROTON EV Pertama

“Kami amat menyesali kesilapan yang mungkin telah menimbulkan perasaan sensitif dalam kalangan rakyat Malaysia. PROTON menjunjung tinggi perpaduan dan kepelbagaian Malaysia, dan kami komited untuk menghormati dan meraikan semua negeri secara sama rata.

“Kami memohon maaf atas sebarang salah faham yang berlaku dan menghargai sebarang maklum balas daripada orang ramai.

“Kami akan lebih berhati-hati dalam usaha masa depan kami. Terima kasih atas perhatian dan sokongan anda yang berterusan,” ujar Proton.

Terdahulu, PROTON telah mendedahkan logo dan nama jenama kenderaan elektriknya (EV), e.MAS.

Penghasilan nama tersebut adalah berdasarkan pertandingan menamakan EV keluaran syarikat itu pada 20 Mei sehingga 5 Jun lepas.

E di dalam nama itu bermaksud Electrifying dan juga EV, manakala MAS pula merujuk kepada nama Malaysia.

Selain itu, logo baharu EV itu turut mengekalkan harimau yang menjadi lambang ikonik Proton, namun diberi nafas baharu.

Bagaimanapun, Proton tidak mendedahkan model EV mereka dalam acara tersebut.

Imbas kembali, proton telah menganjurkan satu peraduan meneka nama sempena pelancaran model kenderaan elektrik (EV) yang pertama mereka.

Peraduan ini menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada para pemenang. Wang sebanyak RM5,000 akan dibawa pulang oleh pemenang tempat pertama. Manakala, pemenang tempat kedua pula akan menerima RM1,500 dan ketiga sebanyak RM1,000.

Pemenang sagu hati pula menerima wang tunai RM100 setiap seorang.

“Berita baik untuk semua! Model kenderaan elektrik pertama dari PROTON akan tiba tidak lama lagi! Bolehkah anda meneka nama jenama untuk PROTON EV ini? Sertailah peraduan meneka nama jenama Proton EV dan rebut peluang untuk memenangi hadiah-hadiah lumayan yang bernilai keseluruhan RM8,000,” kata Proton pada ketika itu.

BACA: Proton e.MAS, Logo & Nama Jenama EV Proton Didedah

Sumber: PROTON

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.