Sungai Seine Terlalu Kotor Untuk Sukan Olimpik Meski Perancis Sudah Habiskan 1.2 Bilion Dolar
Perancis telah mengeluarkan belanja yang besar kira-kira 1.2 bilion Dolar untuk membersihkan Sungai Seine menjelang Sukan Olimpik, tetapi sungai tersebut dikhabarkan masih kotor kerana ‘sisa najis masih terapung di dalamnya’, lapor Metro UK.
Akibatnya, latihan renang untuk acara triathlon terpaksa ditangguhkan untuk hari kedua berturut-turut pada Selasa apabila air didapati masih tidak selamat sekali lagi.
“Analisis yang dijalankan di Seine mendedahkan tahap kualiti air yang tidak memberikan jaminan mencukupi untuk membolehkan acara diadakan,” kata seorang jurucakap Olimpik.
Bagaimanapun, ujian lanjut akan dijalankan dengan harapan agar acara sukan renang di sungai tersebut dapat diteruskan.
Mengapa Sungai Seine begitu kotor?
Terkenal sebagai ‘kota cinta’, pengunjung yang datang sudah pasti akan mengagumi pemandangan indah di Sungai Seine yang memperlihatkan Menara Eiffel, Louvre, Musée d’Orsay dan Pont Alexandre III hingga ke Champs-Élysées.
Namun, satu nasihat yang sering kali diberikan kepada pelancong yang mungkin menikmati juadah atau makanan mereka sambil berjalan-jalan di tebing sungai itu ialah, “jangan melihat ke bawah atau ke arah air”.
Menurut Metro UK, sungai sepanjang 483 batu itu sudah lama terkenal dengan kekotorannya.
Seabad yang lalu, pada tahun 1923, berenang di dalamnya telah diharamkan secara rasmi.
Berbanding kebanyakan sungai besar Eropah lain, keupayaan Sungai Seine untuk mencairkan semua sisa kumbahan bandar dan sampah ladang adalah rendah.
Selain pencemaran pertanian selama beberapa dekad, sisa kumbahan kediaman dan industri yang tidak dirawat telah dilepaskan ke dalam sungai semasa hujan lebat apabila sistem kumbahan Paris mengalami kerosakan.
Seberapa burukkah kualiti air di Sungai Seine?
Dalam minggu-minggu sebelum Olimpik, ujian terhadap air sungai itu terus menunjukkan tahap E.coli dan bakteria lain yang tidak selamat di dalam air.
Ini bermakna atlet boleh jatuh sakit serius jika mereka berenang di dalamnya semasa Sukan Olimpik.
Terdahulu, seminggu sebelum acara bermula, Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo, memenuhi janji untuk berenang di sungai tersebut, membuktikan bahawa ia selamat untuk pertandingan yang akan datang.
Pada 17 Julai, beliau bersama Presiden Olimpik Paris 2024, Tony Estanguet dan pegawai tertinggi kerajaan wilayah Paris, Marc Guillaume, berenang di sungai tersebut.
“Airnya indah dan sangat baik. Sedikit sejuk, tetapi tidak begitu teruk,” kata Hidalgo seperti yang dilapor NBC News.
Bagaimanapun, menurut Metro, hujan telah sekali lagi menjadikan tahap kualiti air tidak selamat untuk berenang di situ.
Timbalan Datuk Bandar Paris, Pierre Rabadan, kemudiannya menyatakan bahawa kualiti air terlihat semakin baik, tetapi dikhuatiri masih berada pada tahap yang membimbangkan.
Jadi, untuk apa 1.2 bilion Dolar dibelanjakan?
Mengeluarkan belanja yang besar sehingga 1.2 bilion Dolar bukanlah idea baru yang diperkenalkan untuk membersihkan sungai terkenal itu khusus sebagai persediaan Sukan Olimpik.
Datuk Bandar Paris 1977/1995, Jacques Chirac, sebelumnya pernah berjanji bakal memastikan bahawa sungai tersebut akan dibuka semula dan selamat untuk aktiviti berenang seawal 1988.
Malangnya, rancangan itu ditangguhkan buat masa yang lama sehinggalah tahun 2016.
Untuk membersihkan sungai itu, pihak berkuasa melabur 1.2 bilion Dolar dalam membina infrastruktur untuk menangkap lebih banyak air hujan – air yang mengandungi sisa kumbahan yang penuh bakteria yang masuk ke dalam sungai semasa hujan lebat dan menjadikannya tidak selamat untuk berenang.
Sebuah takungan 50,000 meter padu yang dirasmikan pada bulan Mei untuk menyimpan air hujan berlebihan digunakan buat kali pertama pada 18 dan 19 Jun, menghalang 40,000 meter padu air sisa dari meresap ke dalam Sungai Seine.
Adakah orang buang air besar di Sungai Seine?
Penduduk Paris berjanji untuk ‘membuang air besar’ di sungai tersebut menjelang Olimpik sebagai protes terhadap jumlah wang yang dibelanjakan oleh pihak berkuasa Perancis untuk pembersihannya.
Bagaimanapun, tiada laporan mengenai tangkapan mana-mana individu yang melakukan perkara tersebut.
BACA: Olimpik Paris 2024: Filipina Tuai Pingat Emas Pertama Menerusi Gimnastik Lelaki
BACA: Sungai Seine Tercemar Selepas Hujan, Latihan Triatlon Dibatalkan Lagi
BACA: Paris 2024: Hasrat Pearly-Thinaah Bawa Pulang Pingat Tidak Kesampaian
Sumber: Metro UK