Gunung Berapi Lewotobi Laki-laki Di Indonesia Meletus, 10 Maut Setakat Ini
Gunung Berapi Lewotobi Laki-Laki di Indonesia dilapor meletus pada pagi Isnin, menyebabkan sekurang-kurangnya 10 orang maut setakat ini, lapor AFP
Jurucakap Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Indonesia, Abdul Muhari, mengesahkan angka korban itu pada satu sidang media, hari ini.
Abdul Muhari juga memaklumkan kira-kira 10,295 penduduk turut terjejas dengan kejadian berkenaan, namun angka tepat masih belum dapat disahkan.
Gunung Lewotobi Laki-Laki merupakan gunung berapi berkembar setinggi 1,703 meter dan terletak di Pulau Flores.
Menurut AFP, gunung berapi itu meletus sejurus sebelum tengah malam tadi dan meletus lagi kira-kira jam 1.27 pagi dan kira-kira 2.48 pagi.
Susulan letusan yang memuntahkan abu dan bebola api ke kawasan kampung berdekatan, Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) Indonesia kemudian menaikkan status amaran ke tahap tertinggi.
PVMBG turut memberi amaran berhubung potensi banjir lahar akibat hujan dan menasihati penduduk supaya memakai pelitup muka bagi melindungi diri daripada abu gunung berapi.
https://x.com/PVMBG_/status/1853199937808552018
Penduduk tempatan serta pelancong turut dinasihatkan untuk mengelak daripada berada dalam lingkungan radius tujuh kilometer (km) dari kawah gunung berapi tersebut.
Pihak berkuasa kemudian dilapor telah memindahkan penduduk kampung yang tinggal di kawasan berdekatan gunung berapi itu ke kawasan selamat.
Kira-kira 10,295 penduduk terkesan
Dalam pada itu, beberapa orang penduduk kampung yang tinggal berhampiran gunung berkenaan sempat berkongsi detik-detik cemas yang dilalui mereka ketika meninggalkan kediaman masing-masing.
“Saya sedang tidur dan tiba-tiba katil rasa bergoyang, seolah-olah sedang ditolak oleh seseorang.
https://x.com/bacottetangga__/status/1853334796992381139
“Ketika itu, saya menyedari gunung berapi sudah meletus dan segera menyelamatkan diri. Di luar, saya melihat ada kebakaran berlaku serta batu dan debu bertebaran di merata tempat.
“Malah, salon milik saya juga terbakar dan musnah,” kata seorang saksi yang merupakan tukang gunting rambut.
Seorang lagi penduduk kampung mendedahkan bahawa letusan itu berlaku secara tiba-tiba.
“Kami tidak mendengar apa-apa tanda amaran, tetapi letusan itu bermula dengan bunyi guruh dan kilat.
“Selepas tengah malam, penduduk kampung mula berpindah dalam keadaan panik. Ketika itu, kami tidak tahu apa yang perlu dibawa bersama, jadi kami hanya menyelamatkan diri kami sahaja,” kata seorang lagi saksi.