Siakap Keli
sungai terpanjang di dunia
Kredit: David Boyer/National Geographic

Ini 9 Sungai Terpanjang Di Dunia

Ini 9 Sungai Terpanjang Di Dunia

Sungai merupakan antara sumber air semula jadi bagi semua hidupan darat. Aliran sungai yang baik bukan sahaja memastikan kemandirian satu-satu hidupan, malah dapat memastikan tiada limpahan yang bakal menyebabkan bencana banjir yang merosakkan satu-satu kawasan.

Di Malaysia, kita mengenali Sungai Rajang sebagai sungai terpanjang di negara ini. Terletak di Sarawak, sungai sepanjang 563 kilometer ini mendahului senarai kesemua 189 lembangan sungai yang ada di Malaysia.

Nak tahu? Walaupun sungai ini sudah cukup panjang bagi kita, rupa-rupanya ada sungai yang lebih panjang dan lebar di luar negara.

1. Sungai Nil, Afrika

Setakat hari ini, status sungai terpanjang di dunia dipegang oleh Sungai Nil di benua Afrika. Sungai ini mengalir dari Sudan terus ke Ethiopia, Mesir, Uganda, Tanzania, Kenya, Rwanda, Burundi, Eritrea dan Republik Demokratik Congo sebelum berakhir di Laut Mediterranean. Mengalir sepanjang 6,650 kilometer, Sungai Nil mempunyai tiga sumber yang mengalir dari sungai dan tasik berbeza iaitu Sungai Nil Putih, Sungai Nil Biru dan Sungai Atbara.

Ia juga mempunyai kawasan tadahan air berukuran 3,349,000 kilometer persegi.

2. Sungai Amazon, Amerika Selatan

Biarpun terdapat perdebatan antara Sungai Nil dan Sungai Amazon sebagai sungai terpanjang, namun kajian terbaru mendapati Sungai Amazon kurang 150 kilometer (hanya 6,500 kilometer) daripada Sungai Nil. Ini menjadikannya kekal sebagai sungai kedua terpanjang di dunia.

Dengan keluasan kawasan tadahan air 6,300,000 kilometer persegi, Sungai Amazon merangkumi 40 peratus daripada keseluruhan kawasan benua Amerika Selatan. Sungai ini mengalir melalui Peru, Colombia, Brazil, dan berakhir di Lautan Atlantik.

Ini menjadikan kawasan tadahan Sungai Amazon sebagai kawasan tadahan air tawar terbesar di dunia.

Terdapat satu perkara yang menakjubkan tentang sungai kedua terpanjang ini. Jika digabungkan kesemua sumber air tawar daripada sungai ketiga terpanjang sehingga sungai kesembilan pun, tidak akan dapat mengatasi jumlah sumber air tawar yang dihasilkan Sungai Amazon.

3. Sungai Yangtze, China

Mari kita lihat pula apa yang menarik tentang sungai ketiga terpanjang di dunia. Dengan aliran sepanjang 6,300 kilometer, Sungai Yangtze merupakan sungai terpanjang di dunia yang keseluruhan alirannya berada di dalam sempadan satu negara. Sungai ini mengalirkan air meliputi satu per lima daripada keseluruhan tanah di China. Bukan itu sahaja, Sungai Yangtze menjadi ‘rumah’ bagi satu per tiga daripada keseluruhan populasi China.

4. Sungai Missouri, Amerika Syarikat

Seterusnya, kita lihat pula sungai keempat terpanjang di dunia. Sebesar-besar negara, sudah pasti ada sumber air yang mengalir melalui kawasan tadahan seluas 1,300,000 kilometer persegi. Sistem sungai ini mengalir ke 32 negeri di Amerika Syarikat. Sungai Missouri di Amerika Utara mengalir sepanjang 3,767 kilometer melalui Rocky Mountains dan dua wilayah Kanada. Sungai ini kemudiannya bersambung dengan sungai kedua terpanjang di Amerika Syarikat iaitu Sungai Mississipi dan berakhir di Teluk Mexico.

BACA: 15 Pekerjaan Paling Laku Menjelang 2030

5. Sungai Yenisey, Siberia

Di tangga kelima, Sungai Yenisey di Siberia mengalir sejauh 3,487 kilometer hingga ke Lautan Aretik. Sungai ini berpunca dari tasik tertua di dunia iaitu Tasik Baikal. Tasik Baikal juga antara tasik yang paling jernih di dunia. Seperti juga Sungai Nil, Sungai Yenisey berpunca daripada sungai lain yang mengalirkan airnya ke Tasik Baikal. Sungai Selenga di Mongolia mengalir sejauh 922 kilometer hingga ke Tasik Baikal, yang kemudiannya mengalir menjadi Sungai Angara, sebelum bersambung dengan Sungai Yenisey. Keseluruhan sistem sungai ini berjumlah 5,539 kilometer panjangnya.

6. Sungai Kuning, China

Di dalam lipatan sejarah, nama sungai keenam terpanjang di dunia ini telah lama disebut-sebut. Sungai Kuning, atau dipanggil Huang He yang bermula di Pergunungan Bayan Har merupakan tempat lahirnya tamadun China purba. Dengan aliran sepanjang 5,464 kilometer, sungai ini merentasi sembilan wilayah China dan berakhir di Laut Bohai. Kawasan tadahan air Sungai Kuning meliputi 795,000 kilometer persegi.

7. Sungai Ob-Irtysh, Siberia-Mongolia

Kita teruskan dengan kedudukan seterusnya. Jauh nun di utara benua, siapa sangka Siberia mempunyai dua sungai yang begitu panjang di dunia.

Dengan iklim benua yang melampau, sungai ketujuh terpanjang di dunia ini sentiasa beku hampir lima hingga enam bulan dalam setahun.

Sistem sungai Ob-Irtysh terdiri daripada Sungai Ob yang bermula dari Pergunungan Altai, bertemu dengan Sungai Irtysh yang bermula di Mongolia. Kedua-dua sungai ini bertembung apabila Sungai Irtysh mengalir melalui China dan Kazakhstan memasuki kawasan Rusia. Dengan aliran sepanjang 5,410 kilometer, kawasan tadahan air sungai ini meliputi sejauh 2,990,000 kilometer persegi.

8. Sungai Rio Grande, Amerika Syarikat-Mexico

Di tangga kelapan, Sungai Rio Grande merupakan sistem sungai kedua terpanjang di Amerika Selatan. Dengan aliran sepanjang 4,880 kilometer, sungai ini mengalir melalui Brazil, Argentina, Paraguay, Bolivia dan Uruguay. Keluasan kawasan tadahannya sehingga 2,582,672 kilometer. Di Mexico, sungai ini dinamakan Rio Bravo. Sungai ini menjadi lokasi tumpuan laluan migrasi ratusan spesies burung di Amerika Utara.

Untuk pengetahuan, sungai yang menjadi sempadan antara Amerika Syarikat dan Mexico ini kini tersenarai antara 10 sungai paling terancam di dunia disebabkan pencemaran, perubahan iklim, aktiviti manusia serta kemunculan spesis haiwan invasif. Menjadi satu kerugian jika sungai yang menjadi habitat kepada ratusan spesies ini tidak dipulihara semula.

9. Sungai Congo, Afrika

Akhir sekali, mari kita lihat sungai kesembilan terpanjang di dunia. Sungai terdalam di dunia ini mempunyai lapan Tapak Warisan Dunia UNESCO dan menjadi laluan pengangkutan utama di Afrika Tengah. Dengan aliran sepanjang 4,700 kilometer, Sungai Congo mempunyai keluasan kawasan tadahan kedua terbesar selepas Sungai Amazon iaitu 4,014,500 kilometer persegi.

BACA: Kenali Abdul Rashid Hussain, Hartawan Wakafkan 3 Masjid

Sumber: How Stuff Works, WWF Malaysia (1) (2), Rio Grande International Study Center, Interesting Africa, Rhino Africa

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.