Hilang Sejak Januari, Mayat Remaja Ditemui Dengan Anggota Badan ‘Terpisah’
Misteri kehilangan seorang remaja perempuan orang asli, 14 hampir sebulan lalu membawa kepada penemuan mayatnya yang ditemui dalam keadaan ‘terpisah’ di tepi Lebuhraya Gila, Arizona, petik Daily Mail.
Perkara itu disahkan oleh polis tempatan selepas mendapati ujian DNA yang dilakukan adalah milik remaja yang hilang sejak 27 Januari lalu.
Difahamkan, pihak polis menemui mayat seorang remaja perempuan yang tidak dikenali di kawasan hutan, di tepi lebuh raya pada 14 Februari lalu.
Lebih menyayat hati, sebahagian tubuh mayat berkenaan telah dikerat dan dimasukkan ke dalam plastik sampah berasingan.
Menurut polis, kepala mangsa telah dibungkus dalam satu beg, manakala bahagian kaki di dalam beg lain. Bagaimanapun, bahagian tangan mangsa masih belum ditemui oleh pihak polis.
Hasil autopsi turut mendapati terdapat kesan trauma serius pada bahagian kepala dan wajah mangsa.
Polis Tahan Tiga Individu
Dalam pada itu, polis turut menahan tiga suspek yang dipercayai terlibat dengan kes tersebut namun identiti tidak didedahkan kerana masih dalam siasatan.
Menurut Pejabat Sheriff Daerah Gila dengan bantuan Biro Hal Ehwal Orang Asli dan Polis Suku San Carlos Apache, kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh.
Sehubungan itu, pihak berkuasa tempatan memohon kepada orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk tampil menyalurkan info sekaligus membantu siasatan.
Kronologi Kehilangan Remaja Berusia 14 Tahun
Seorang remaja perempuan yang tinggal di rumah kebajikan di Mesa, dilaporkan hilang sejak 27 Januari 2025.
Kehilangan remaja itu mencetuskan tanda-tanya dengan operasi mencari secara besar-besaran telah dilakukan oleh pelbagai agensi.
BACA: Hilang Sejak Januari 2024, Rangka Manusia Ditemui Dipercayai Milik Jurujual Kereta
Seminggu kemudian, berita kehilangan remaja itu dimaklumkan kepada ahli keluarga mangsa yang menetap di petempatan Orang Asli San Carlos Apache.
“Mengapa perkara ini terjadi sebegini rupa? Dia hanyalah seorang anak kecil yang tidak bersalah…
“Ini adalah berita yang tak pernah saya bayangkan, yang saya harap tiada ibu lain perlu alaminya,” kata ibu mangsa sewaktu dihubungi.
Pada 14 Februari lalu, mayat mangsa ditemukan di tepi Lebuhraya Gila, Arizona.
Terdahulu, seorang wanita, Feni Ere, 28, yang dilaporkan hilang sejak setahun lalu terjawab selepas penemuan rangka manusia dipercayai miliknya di Kota Palopo, Sulawesi Selatan, petik detik.com.
Sumber: Daily Mail, WSAZ3