Berkejaran Balik, Gelagat Anak-Anak Bantu Bapa Ketika Pulang Dipuji Ramai
Zaman kanak-kanak yang indah, penuh dengan gelak ketawa bersama keluarga menjadi kenangan yang tidak akan dapat dilupakan. Bermain siang dan malam, ke mana sahaja bersama membuat kita tidak pernah rasa keseorangan.
Kadang-kala bergaduh, disulami babak air mata sudah menjadi asam garam membesar bersama adik-beradik. Menginjak dewasa, kenangan-kenangan ini juga yang menjadi buah mulut tatkala semua kembali bertemu di kampung halaman.
Tanpa kita sedari, kenangan tersebut juga menjadi memori indah buat ibu bapa yang memerhati dari jauh gelagat anak-anak. Itulah kenangan yang tersemat dalam hidup seorang pengguna TikTok, @aslindadikinn.
Menyimpan rakaman kamera litar tertutup yang dipasang di rumah, wanita berkenaan memuat naik rakaman gelagat anak-anak yang berkejaran pulang ke rumah tatkala ternampak bapa pulang dari berniaga.
“Tengah seronok main kat luar, sekali ayahnya balik dari niaga,” nukil Aslinda.
Seorang demi seorang anak lelaki wanita berkenaan dilihat berlari pulang ke rumah sambil bergelak ketawa. Sejurus kemudian, sebuah van berwarna merah masuk ke halaman.
Menariknya, biarpun mereka berlari seperti lipas kudung masuk ke rumah, semua anak lelaki kembali ke luar rumah bagi menyambut kepulangan bapa.
Berulang-alik dari van merah ke dalam rumah, barang-barang perniagaan diangkat satu per satu. Video tersebut turut diakhiri dengan rakaman anaknya menyusun semula selipar di halaman rumah.
Menerusi ruangan komen, Aslinda menjelaskan bahawa mereka suami isteri mendidik anak-anak untuk membantu sedari kecil.
“Anak saya, lelaki memang tugasnya tolong ayahnya. Anak perempuan tolong ibunya. Alhamdulillah,” jelasnya.
Gelagat adik-beradik ini membuatkan warga maya terhibur. Bukan itu sahaja, di ruangan komen, warga maya berpusu-pusu memuji peribadi mereka.
“Menolong ayahnya dengan ikhlas disertai gelak ketawa mereka adik-beradik hingga tidak merasa penat. Semoga keluarga ni selalu dilindungi Allah SWT, dipermudahkan urusan dunia dan akhirat,” titip warga maya.
“Lelaki terkaya di dunia,” ujar seorang lagi.
“Si abang yang besar tu bagus, sebab dia adik-adik contohi dia. Semoga anak-anak akak menjadi anak-anak yang soleh,” ucap yang lain.
@aslindadikinn #CapCut gelagat anak2 😂
BACA: Harga ‘Cantik’, Lamborghini Lancar “Stroller” Bayi
BACA: Hantar Anak Sekolah, Lelaki Tunjuk Suasana Unik Waktu Pagi Cameron Highlands
Sumber: TikTok @aslindadikinn