Utama

Sukan

Berita

Berita

Berita

Berita

Sukan

Sukan

Berita

Berita

Berita

Berita

Sukan

Banjir Landa Filipina, Puluhan Ribu Penduduk Dipindahkan
Banjir telah melanda ibu negara Filipina pada Selasa, memaksa puluhan ribu penduduk berpindah dan menyebabkan sekolah serta pejabat kerajaan ditutup.
Sekurang-kurangnya enam orang telah meninggal dunia dan enam lagi masih hilang selepas Taufan Tropika Wipha melintasi negara itu pada Jumaat, menurut Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Negara.
Penduduk di Manila dikejutkan dengan air banjir separas betis pada pagi Selasa, yang memenuhi di kawasan rumah mereka selepas hujan lebat pada waktu malam menyebabkan Sungai Marikina melimpah.
Lebih 23,000 penduduk yang tinggal di sepanjang tebing sungai telah dipindahkan dari rumah mereka pada waktu malam dan ditempatkan di sekolah, dewan orang ramai serta ruang berbumbung.
Kira-kira 47,000 orang lagi dipindahkan dari kawasan Quezon, Pasig dan Caloocan di ibu kota serta dari kawasan utama pentadbiran kerajaan.
“Kebiasaannya, mereka ini datang dari kawasan tanah rendah seperti di tepi sungai kecil,” kata Wilmer Tan dari pejabat penyelamat Marikina.
Seorang wanita warga emas dan pemandunya dihanyutkan di salah satu sungai kecil yang melimpah ketika mereka cuba menyeberangi jambatan di Caloocan.
Pada awalnya, pasangan itu disangka sempat menyelamatkan diri selepas kenderaan mereka dijumpai dalam keadaan tingkap yang pecah.
Namun, Datuk Bandar Caloocan, Dale Gonzalo Malapitan, mengumumkan bahawa mayat salah seorang mangsa telah ditemui.
Ketika air banjir mula surut di Manila pada petang Selasa, perkhidmatan kaji cuaca negara memaklumkan bahawa satu kawasan tekanan rendah di pantai timur negara itu telah berkembang menjadi depresi tropika.
Menurut agensi tersebut, walaupun tidak dijangka mendarat, depresi itu diramal membawa hujan lebat berterusan sehingga hujung minggu,
Sementara itu, ribuan orang masih belum dapat pulang ke rumah masing-masing.
Wartawan AFP di Cainta, sebuah bandar kecil di pinggir ibu negara, menyaksikan penduduk menggunakan kotak styrofoam dan peti sejuk terpakai sebagai alat pengapungan untuk meredah banjir.
Untuk pengetahuan, sekurang-kurangnya 20 ribut atau taufan melanda atau menghampiri Filipina setiap tahun, dan kawasan termiskin negara itu lazimnya paling teruk terjejas.
Ribut yang membawa maut dan memusnahkan harta benda kini menjadi lebih kuat berikutan pemanasan global yang menyebabkan perubahan iklim.
Sumber: AFP