Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Wartawan AFP Berdepan Risiko Mati Kebuluran di Gaza

Hannah
wartawan mati kebuluran
Gambar: Anadolu Ajansı

Wartawan AFP Berdepan Risiko Mati Kebuluran di Gaza

Persatuan Wartawan Agence France-Presse (AFP) mengeluarkan amaran keras pada Isnin mengenai keadaan wartawan mereka di Semenanjung Gaza.

Mereka kini berada dalam situasi amat kritikal akibat kekurangan makanan dan risiko kebuluran yang semakin meruncing.

Keadaan ini berpunca daripada sekatan berterusan Israel terhadap kemasukan bantuan kemanusiaan serta serangan udara yang tidak pernah berhenti.

Dalam kenyataan yang disiarkan di platform media sosial X, Kesatuan Wartawan AFP (SDJ) menegaskan bahawa mereka tidak akan berdiam diri menyaksikan rakan sekerja mati kelaparan di medan konflik.

“Sejak AFP ditubuhkan pada Ogos 1944, kami pernah kehilangan wartawan dalam peperangan, ada yang tercedera dan ditawan. Tetapi tidak pernah kami menyaksikan rakan sekerja mati akibat kelaparan,” kata kenyataan itu seperti dilapor Anadolu Ajansı.

SDJ menjelaskan bahawa AFP kini mempunyai seorang wartawan sambilan, tiga jurufoto dan enam juruvideo bebas yang beroperasi di Gaza.

Salah seorang daripada mereka ialah jurufoto Bashar Taleb, 30, yang baru-baru ini berkongsi keadaan dirinya yang semakin merosot dalam satu hantaran Facebook.

“Saya sudah tidak berdaya untuk membuat liputan lagi. Badan saya semakin susut dan saya tidak mampu berjalan,” tulis Taleb yang turut memaklumkan bahawa abangnya rebah akibat kelaparan pada pagi Ahad.

Menurut kenyataan SDJ, walaupun menerima gaji bulanan, para wartawan AFP di Gaza tidak mampu membeli makanan kerana bekalan yang hampir tiada dan harga yang terlalu mahal.

Kekurangan bahan api juga menyebabkan mereka tidak lagi memiliki kenderaan untuk bergerak membuat liputan.

Malah, menggunakan kenderaan dianggap sangat berbahaya kerana berisiko menjadi sasaran serangan udara Israel.

Seorang lagi wartawan AFP, Ahlam, turut berkongsi pengalamannya yang getir.

“Setiap kali saya keluar dari khemah untuk membuat liputan, menjalankan temu ramah atau merakam bukti, saya tidak pasti sama ada saya akan kembali hidup. Masalah paling besar ialah kekurangan makanan dan air,” katanya.

SDJ menzahirkan kebimbangan terhadap nasib petugas mereka yang selama berbulan-bulan telah memperjuangkan kebenaran dan memberi maklumat kepada dunia.

“Keberanian mereka tidak cukup untuk menyelamatkan nyawa. Pada bila-bila masa sahaja, kami mungkin akan menerima berita kematian mereka, dan itu amat menyayat hati,” jelas kenyataan itu lagi.

Sejak 2 Mac lalu, Israel telah mengenakan sekatan sepenuhnya ke atas Gaza, menghalang kemasukan makanan, ubat-ubatan dan bantuan kemanusiaan.

Agensi-agensi bantuan antarabangsa telah berulang kali memberi amaran bahawa Gaza kini berada di ambang kebuluran buatan manusia, tanpa sebarang petanda penamatan krisis.

Sejak 7 Oktober 2023, tentera Israel melancarkan serangan ganas ke atas Gaza, membunuh lebih 59,000 penduduk Palestin yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Pengeboman berterusan ini bukan sahaja memusnahkan infrastruktur di wilayah itu, tetapi juga mengakibatkan krisis makanan dan penyebaran penyakit yang semakin parah.

Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel turut berdepan perbicaraan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung tindakan ketenteraan mereka di wilayah tersebut.

BACA: Sedia Bekalan Makanan Untuk Gaza, UNRWA Gesa Pintu Sempadan Dibuka

BACA: Sepanyol Buka Siasatan Jenayah Perang Terhadap Netanyahu

BACA: Politik Israel Goyah, Netanyahu Didakwa Hilang Majoriti

Sumber: Anadolu Ajansı