Utama

Sukan

Berita

Berita

Berita

Berita

Sukan

Sukan

Berita

Berita

Berita

Berita

Sukan

Politik Israel Goyah, Netanyahu Didakwa Hilang Majoriti
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kini berdepan tekanan politik hebat selepas sebuah lagi parti penting dalam gabungan pemerintah mengumumkan penarikan diri susulan pertikaian mengenai isu wajib tentera ke atas golongan ultra-Ortodoks.
Parti ultra-Ortodoks Shas dilaporkan melepaskan semua jawatan dalam kerajaan pada Rabu, menurut media Israel seperti dilapor SCMP.
Seramai tujuh menteri dan timbalan menteri daripada Shas dijangka meletak jawatan, termasuk Menteri Dalam Negeri Moshe Arbel dan Menteri Kesihatan Uriel Buso.
Meskipun demikian, parti itu menegaskan bahawa mereka tidak akan menyertai blok pembangkang.
Langkah tersebut menimbulkan persoalan besar tentang kedudukan majoriti Netanyahu dalam Parlimen.
Ketua pembangkang, Yair Lapid mendakwa bahawa Israel kini diperintah oleh kerajaan minoriti manakala beberapa laporan media turut menyatakan kerajaan pimpinan Netanyahu telah kehilangan majoriti.
Namun begitu, portal berita ynet melaporkan bahawa Shas masih akan kekal dalam gabungan blok kerajaan di Parlimen, sekali gus membolehkan Netanyahu mengekalkan majoriti tipis dengan hanya 61 kerusi daripada keseluruhan 120 kerusi di Knesset (Parlimen Israel).
Krisis ini semakin meruncing selepas sebuah lagi parti ultra-Ortodoks, United Torah Judaism (UTJ), turut menarik diri daripada kerajaan sehari sebelumnya atas isu yang sama.
Ahli-ahli parlimen UTJ, termasuk Timbalan Menteri Pengangkutan dan Menteri Hal Ehwal Jerusalem, juga dijangka meletak jawatan.
UTJ memiliki tujuh kerusi, manakala Shas memegang 11 kerusi di Knesset, gabungan penting dalam pakatan kerajaan Netanyahu yang didominasi parti-parti sayap kanan dan keagamaan.
Namun, menurut akhbar Times of Israel, peletakan jawatan itu mungkin mengambil masa sehingga 48 jam untuk berkuat kuasa, memberi ruang kepada Netanyahu untuk merunding semula cadangannya.
Isu punca krisis ini ialah desakan untuk mewajibkan khidmat tentera terhadap lelaki ultra-Ortodoks, yang selama ini dikecualikan atas alasan agama.
Namun, pengecualian itu telah tamat tahun lalu dan kerajaan masih gagal meluluskan undang-undang baharu bagi mengekalkan status istimewa tersebut.
Mahkamah Agung Israel tahun lalu turut memutuskan bahawa pengecualian terhadap komuniti ultra-Ortodoks tidak lagi sah, dan mereka perlu menyertai khidmat tentera seperti rakyat lain.
Keputusan ini menimbulkan ketegangan dalam kalangan golongan ultra-Ortodoks yang menganggap perkhidmatan tentera bertentangan dengan cara hidup mereka yang konservatif, terutama kerana lelaki dan wanita berkhidmat bersama.
Ketika tentera Israel kini berdepan kekurangan anggota akibat perang di Gaza, gesaan agar golongan ultra-Ortodoks turut menyertai perkhidmatan menjadi semakin mendesak.
Netanyahu dijangka akan menggunakan masa rehat parlimen musim panas selama tiga bulan yang bermula hujung Julai ini untuk mencari jalan penyelesaian.
Jika kompromi mengenai undang-undang baharu mengenai khidmat tentera berjaya dicapai, dua parti ultra-Ortodoks itu mungkin akan kembali menyertai kerajaan.
Sekiranya gagal, gabungan parti-parti lain dalam kerajaan, termasuk Likud, Religious Zionism, Otzma Yehudit, New Hope dan Noam, mungkin terpaksa terus memerintah sebagai kerajaan minoriti.
Setakat ini, menurut media Israel, kedua-dua parti ultra-Ortodoks itu tidak berhasrat untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada. Sebaliknya, memberi peluang kepada Netanyahu untuk menyelesaikan krisis ini melalui perundingan lanjut.
Sumber: SCMP