Didakwa Rakam & Sebar Video Lucah Anaknya, Remaja Maut Dibelasah Bapa Teman Wanita & Rakan
Seorang remaja disahkan meninggal dunia selepas menjalani rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) dipercayai mengalami kecederaan parah pada awal pagi Jumaat.
Menurut laporan, mangsa yang berusia 18 tahun dipercayai dibelasah di sebuah pusat komersial di Jalan Tun Jugah oleh dua individu.
Difahamkan, perkara itu berlaku ekoran tindakan mangsa yang didakwa merakam dan menyebarkan video lucah anak perempuan suspek yang juga merupakan kekasih kepada mangsa.
Pemangku Ketua Polis daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa berkata, kedua-dua suspek telah ditahan untuk membantu siasatan dalam satu kenyataan.
“Sepasukan polis dari cawangan Siasatan Jenayah D9 Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching telah menahan dua lelaki tempatan berusia 43 dan 50 tahun.
“Mereka kini direman tujuh hari sehingga 5 Ogos ini bagi membantu siasatan lanjut, kes dipercayai berpunca daripada kisah percintaan,” jelasnya, lapor Sinar Harian.
Pihak polis telah mengklasifikasikan kes tersebut sebagai kes bunuh sebaik sahaja mangsa yang dimasukkan ke hospital dilaporkan meninggal dunia.
“Proses bedah siasatan akan dilakukan 30 Julai (Sabtu) dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” tambahnya.
BACA: Ini Jawapan Mufti WP Terhadap Pelbagai Isu Berkaitan Hijrah
BACA JUGA: Taktik Guna Kebun Sayur Untuk Tanam Ganja Terbongkar Di Sibu
Sumber: Sinar Harian