Siakap Keli
Gabungan Dua Tokoh Menteri Besar Mampu Pacu Ekonomi Perak
Gambar: Bernama

Gabungan Dua Tokoh Menteri Besar Mampu Pacu Ekonomi Perak

IPOH, 22 Nov (Bernama) — Gabungan dua tokoh politik negeri yang pernah menjadi Menteri Besar mampu melicinkan pentadbiran kerajaan yang baru dibentuk, selain dapat memajukan ekonomi demi manfaat rakyat.

Pensyarah Jabatan Sejarah, Fakuliti Sains Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Dr Ishak Saat berkata rakyat kini ingin melihat impak kerajaan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) itu kepada pentadbiran negeri.

Katanya, magis Datuk Seri Saarani Mohamad yang mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak untuk penggal baharu semalam dan bekas menteri besar Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin yang mengangkat sumpah hari ini sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (Exco) untuk memakmurkan Perak sememangnya dinantikan rakyat.

PH dan BN bersetuju menjalin kerjasama membentuk kerajaan negeri selepas masing-masing mendapat 24 serta sembilan kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh 26 kerusi.

“Secara peribadi, kedua-dua buah parti itu merupakan gabungan yang adil kerana kita mempunyai dua orang yang berpengalaman dalam pentadbiran negeri yang mana kombinasi mereka amat baik kepada negeri Perak.

“Apa yang paling penting adalah kerjasama dalam memberi keutamaan kepada negeri daripada kepentingan politik masing-masing kerana dari segi pemilikan kerusi, BN dapat sembilan kerusi itu sudah cukup baik bagi saya, lebih-lebih lagi apabila parti itu ditawarkan jawatan MB dan Speaker. Terdapat semak dan imbang di situ,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata barisan kepimpinan yang telah dilantik perlu memberi perkhidmatan terbaik dan meletakkan kepentingan negeri sebagai keutamaan.

“Berilah keutamaan kepada negeri daripada kepentingan parti sendiri. Bagi mendapatkan kepuasan sesebuah parti adalah mustahil kerana rakyat telah pun membuat keputusan begini iaitu tiada satu pun yang memperolehi majoriti,” katanya.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan (UKM) Jamaie Jamil berkata PH dilihat mementingkan perjalanan dan kestabilan politik negeri itu selain tidak berminat untuk bermain politik.

“Kita boleh lihat tiada isu politik di negeri itu di mana PH berbesar hati demi kestabilan politik dan ia bukan perkara yang baharu bagi mereka,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata PH memberi kepercayaan kepada Saarani yang pernah memegang jawatan MB dan terus memberi sokongan kepada beliau untuk meneruskan pentadbiran atau kerja yang masih tidak selesai di negeri itu.

Nizar yang juga ADUN Sungai Rapat antara 10 ADUN yang mengangkat sumpah jawatan sebagai Exco  di hadapan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Istana Iskandariah hari ini.

Mereka merupakan tiga ADUN BN daripada UMNO manakala PH diwakili empat daripada DAP, dua PKR dan seorang daripada Amanah.

DUN Perak kini terdiri daripada 26 ADUN PN, 24 ADUN PH dan sembilan ADUN BN.

Sumber: BERNAMA

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.