Ladang Ternakan Babi Didakwa Sebabkan Pencemaran Sungai Diarah Tutup
Sebuah ladang ternakan babi di Pulau Pinang diarah tutup oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPV).
Menurut Astro Awani, penutupan itu dibuat selepas ladang itu dipercayai menyebabkan pencemaran Sungai Kulim dan Sungai Air Merah di Kedah.
Pengerusi Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang, Fahmi Zainol, berkata ladang ternakan juga didapati gagal dalam memiliki lesen yang sah sebelum ini.
Susulan itu, pihaknya telah mengeluarkan arahan berkenaan.
Tambahnya, Bahagian Kawal Selia Air (BKSA) juga bakal membuat pemantauan di lokasi yang dilaporkan. Manakala kompaun terhadap pihak ladang berkenaan akan dikeluarkan oleh pihak JPV esok.
“Jabatan Veterinar Pulau Pinang sudah keluarkan arahan kosongkan ladang dan meminta ia dipindahkan ke ladang sembelihan.
“Namun sehingga kini, ia tidak berlaku malah penternak juga didapati tidak mahu mengikut arahan yang ditetapkan.
“Jumlah babi di ladang itu terlalu banyak dan ia perlu dilaksanakan secara berperingkat.
“Bagaimanapun pihak JPV negeri akan terus mengambil tindakan mengikut enakmen sedia ada,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.
Dalam pada itu, Pengarah JAS, Pulau Pinang, Norazizi Adinan memberitahu siasatan masih diteruskan hingga ke hari ini.
Tindakan selanjutnya termasuk tindakan perundangan bakal diambil terhadap pemilik kandang babi berkenaan sekiranya sampel yang diambil oleh JAS Pulau Pinang di lima lokasi berdasarkan laporan itu berasas.
BACA; Polis Tahan Pekerja P-Hailing Disyaki Bakar Kereta Polis Bantuan
“Semua pihak yang mempunyai kuasa perundangan akan diminta untuk mengambil tindakan mengikut kuasa masing-masing.
“JAS mempunyai kuasa terhad terhadap ladang ternakan kerana tiada kuasa khusus untuk pencemaran dari ladang ternakan,” ujarnya sewaktu dihubungi.

Ahad lepas, kegiatan pelepasan sisa ternakan babi dipercayai dari sebuah ladang ternakan babi di Pulau Pinang dikesan oleh JAS Kedah, lapor media.
Kegiatan itu mengakibatkan pencemaran di Sungai Kulim dan Sungai Air Merah.
Menurut Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab, pegawai penyiasat JAS Cawangan Kulim telah diarahkan membuat pemeriksaan bagi mengenal pasti punca berkenaan.
Siasatan dibuat selepas pihaknya menerima maklumat berhubung pencemaran itu pada Jumaat.

Mengulas lebih lanjut, Sharifah berkata, aliran air hitam dari Sungai Air Merah mengalir masuk ke Sungai Kulim berjaya dikesan oleh pegawai penyiasat selepas pemeriksaan lapangan dilakukan meliputi kawasan hulu sungai.
Terdapat beberapa kolam yang melepaskan efluen ke Sungai Air Merah yang kemudiannya memasuki Sungai Kulim selepas siasatan lanjut di sekitar kawasan penternakan babi berkenaan.
Oleh itu, JAS Pulau Pinang telah dimaklumkan mengenai perkara itu dan tindakan akan diambil oleh pihak berkuasa Pulau Pinang seperti Jabatan Veterinar Pulau Pinang dan Badan Kawal Selia Air Pulau Pinang.
Sumber: Astro Awani