Tiga Lemas Semasa Aktiviti “Water Rafting” Di Sungai Kampar
GOPENG, 15 November (Bernama) — Dua lelaki dan seorang wanita ditemukan lemas di Sungai Kampar di sini selepas dibawa arus deras akibat hujan lebat ketika melakukan aktiviti “water rafting” petang tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sayani Saidon berkata seorang mangsa lelaki dan wanita dinaikkan ke tebing sungai oleh orang awam di Rock Garden dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
“Seorang lagi mangsa ditemukan di River Bug Gopeng dan turut disahkan meninggal dunia. Difahamkan ketiga-tiga mangsa sedang mengikuti program team building yang diadakan di lokasi tersebut,” katanya dalam kenyataan.
BACA: PRABN Keluar Ramalan Awal Kemungkinan Banjir Di Negeri Pantai Timur & Johor
Sayani berkata terdapat 22 peserta daripada Jabatan Kerja Raya Seberang Perai Tengah (SPT), Pulau Pinang dan Langkawi serta enam pemandu peserta yang turun ke sungai bermula pada 3.30 petang tadi.
Beliau berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 5.56 petang sebelum 10 anggota bersama satu jentera digerakkan ke lokasi mangsa ditemukan iaitu di Jalan Kampung Pintu Padang Rock Garden Camping Gopeng dan River Park Gopeng.
“Mayat kesemua mangsa dibawa ke Hospital Kampar untuk tindakan lanjut,” katanya.
BACA: Hujan Berterusan Diramalkan Di Pantai Timur, Johor Minggu Depan – MetMalaysia
BACA: PRABN Keluar Ramalan Awal Kemungkinan Banjir Di Negeri Pantai Timur & Johor
Sumber: Bernama