7 Negeri, 2 Wilayah Dijangka Alami Hujan Lebat Hingga Malam Ini
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat, ribut petir dan angin kencang terhadap tujuh negeri dan dua Wilayah Persekutuan (WP) sehingga 9 malam ini.
Menerusi amaran yang dimuat naik di laman Facebook tersebut, seluruh negeri Selangor, Negeri Sembilan, Melaka serta WP Kuala Lumpur dan WP Putrajaya dijangka hujan lebat.
Cuaca di Perak menunjukkan hanya daerah Muallim yang bakal menerima hujan lebat. Manakala di Pahang, hujan lebat dijangka landa daerah Lipis, Raub, Bentong dan Temerloh.
Turun ke Johor, kebanyakan kawasan tersenarai bakal dilanda ribut petir dan hujan lebat. Daerah yang terlibat ialah Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru.
Beralih ke Sarawak, MetMalaysia menjangkakan daerah Bintulu (Tatau dan Sebauh) dan Limbang bakal terima hujan lebat dan angin kencang.
BACA: Kerajaan Jimat Hampir RM1 Juta Kos Penerbangan Anwar Bagi Lawatan Ke Lima Negara – Fahmi

“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir ATAU dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” maklum MetMalaysia.
BACA: Ribuan Ulat Muncul, ‘Berterbangan’ Hingga Melekat Pada Baju Penduduk
Terdahulu, pihak MetMalaysia telah mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan pada tahap buruk dan waspada bagi beberapa kawasan sehingga Sabtu. Antara daerah yang tersenarai bawah tahap buruk ialah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai di Kelantan. Manakala di Terengganu, seluruh negeri dijangka alami cuaca buruk tersebut.
Bagi tahap waspada pula, MetMalaysia menyenaraikan daerah Gua Musang di Kelantan, serta Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang. Di Johor pula, daerah yang terlibat hanya Mersing dan Kota Tinggi.
Dalam pada itu, beberapa kawasan di Sabah menerima amaran hujan berterusan pada tahap waspada sehingga Isnin depan. Daerah yang tersenarai merupakan Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud), Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat.
Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada dengan perubahan cuaca ketika berada di luar. Elakkan mengunjungi tempat berisiko.
BACA: Orang Asli Bina Rumah Bangsal Atas Bukit Siap Sedia Hadapi Banjir