Siakap Keli
lubuk emas china
Kredit: Xinhua

‘Lubuk’ Emas Terbaru Ditemui Di China, Dianggar Bernilai RM369 Bilion

‘Lubuk’ Emas Terbaru Ditemui Di China, Dianggar Bernilai RM369 Bilion

Sebuah kawasan emas yang besar ditemui di Wilayah Tengah Hunan, dipercayai mengandungi rizab simpanan emas bernilai kira-kira 600 bilion yuan (RM369 bilion), lapor South China Morning Post.

Lebih 40 serpihan emas baharu ditemui berada sedalam 2,000 meter di bawah tanah lombong emas Wangu, daerah Pingjiang. Menurut Institut Geologi Hunan, penemuan itu menjadikan jumlah sumber emas di lombong tersebut adalah  300.2 tan.

Kumpulan penyelidik itu turut menjangkakan terdapat lebih 1,000 tan rizab emas lagi dengan jangkaan nilai lebih USD82.8 bilion berdasarkan pasaran semasa.

BACA: Inflasi Malaysia Catat 1.9 Peratus Pada Oktober – DOSM

Timbalan Pengarah Institut, Liu Yongjun berkata penemuan tersebut merupakan pencapaian yang besar dalam strategi eksplorasi mineral China.

“Penemuan ini penting dalam membantu menjaga keselamatan sumber negara,” ujarnya.

Kawasan emas Wangu merupakan salah satu hub lombong emas terpenting di China. Sejak 2020, lebih 100 milion yuan dilaburkan oleh pihak berkuasa tempatan bagi projek eksplorasi mineral di kawasan tersebut.

Permintaan emas di China semakin meningkat semenjak kebelakangan ini disebabkan pengguna dan pelabur runcit meningkatkan pegangan emas mereka. Hal ini berikutan ketidakstabilan ekonomi tempatan dan global.

BACA: Niat Memancing Terbantut, Lelaki Kongsi Detik Selamatkan Empat Mangsa Bot Karam

Walau bagaimanapun, pembelian emas baru-baru ini mula berkurangan selepas Bank Pusat China menggantung pembelian emasnya pada Mei. Pengukuhan USD berbanding yuan selepas kemenangan Donald Trump juga memainkan peranan.

Sejak kebelakangan ini, China mula meningkatkan pelaburan dalam eksplorasi sumber mineral dengan rancangan pembangunan 2021-25. Rancangan pembangunan tersebut memerlukan usaha yang lebih besar dalam meningkatkan rizab dan pengeluaran mineral domestik.

BACA: Ribuan Ulat Muncul, ‘Berterbangan’ Hingga Melekat Pada Baju Penduduk

Pada tahun lalu, pelaburan tersebut meningkat lapan peratus  tahun ke tahun sehingga mencapai 110.5 bilion yuan. Pelaburan ini turut membantu meningkatkan rizab sumber strategik termasuk minyak, gas semula jadi, nadir bumi dan emas.

Pada September, 4.96 tan nadir bumi ditemui di Liangshan Yi, manakala beberapa bulan sebelum itu, 43.2 tan rizab emas pula ditemui di utara daerah Qinghai. Lombong emas Xiling di timur Shandong pula mengesahkan penemuan 200 tan rizab emas lagi pada Mei 2023. Ini meningkatkan jumlah rizabnya kepada 580 tan.

Sumber: South China Morning Post

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.