4 Minit Je, Tapi Iklan Raya Ni Pasti Buat Anak ‘Broken Home’ Merambu Air Mata
Perpisahan merupakan satu momen yang melibatkan emosi, lebih-lebih lagi berkait rapat dengan orang tersayang.
Tidak kira tua ataupun muda, pastinya dapat merasai pedihnya sebuah perpisahan.
Buat kanak-kanak, perpisahan melibatkan ibu bapa sudah tentunya menimbulkan tekanan emosi yang tinggi memandangkan mereka masih belum dapat mengendalikan emosi.
Itulah yang terpaksa dilalui oleh dua beradik, Along dan Angah yang menjadi mangsa keadaan konflik antara kedua ibu bapa mereka. Video raya tajaan CARiNG Pharmacy kali ini pastinya menjentik hati sesiapa sahaja yang mengalami situasi serupa — sama ada pasangan yang ingin berpisah mahupun anak dari keluarga berpecah belah.
Bagai gajah bergaduh, pelanduk mati di tengah
Lumrah kehidupan berumahtangga, tentu adanya perselisihan faham antara dua pihak. Namun, satu hari berlaku pergaduhan besar antara ibu bapa mereka.
Siapa menyangka, pertengkaran itu membawa kepada perpisahan antara dua beradik, apabila bapanya mengambil keputusan untuk membawa Angah pergi.
“Angah…Along nak ikut Angah..”
Melihat hubungan sedarah dibawa pergi oleh bapa kandung sendiri, air mata Along mengalir membasahi pipi, mengetahui dirinya tidak mampu berbuat apa-apa ketika itu.
Lebih menyentuh hati, situasi itu perlu dilalui oleh Along sekeluarga dikala Hari Raya Aidilfitri bakal berkunjung tiba.
Setiap detik, gelak tawa bersama keluarganya sentiasa bermain di fikirannya hingga merenggut senyum di raut wajah Along.
Apatah lagi bumbung kebahagian seorang anak itu terletak pada kedua orang tua mereka. Apabila berlaku keretakan dalam rumah tangga, secara tidak langsung menjadi ‘pembunuh senyap’ dalam diri anak-anak.
Situasi yang dilalui oleh Along dan keluarga tak ubah seperti analogi diberikan neneknya, “Keindahan ketupat ini ibarat anak-anak. Jika dah dibuka, ibarat ibu dan ayah dah berpisah..”
Kini hari bersilih ganti, Syawal semakin hampir, adakah Along dapat meraikan hari penuh bermakna ini bersama adik dan ayahnya bersama? Atau sayu di pagi yang mulia?
Ikuti kisah Along dan Angah dalam video raya Syawal Di Hati, Kenangan Abadi dibawakan oleh CARiNG Pharmacy.
“Walau ketupat dibuka, isinya tetap ada. Walau haluan berbeza, kasih untuk anak tetap sama”.