Tip Interview: 3 Kesilapan Terbesar Dalam Resume Calon Temu Duga
Dalam dunia kerjaya yang semakin kompetitif, resume bukan sekadar kertas biodata. Ia umpama “first impression” yang bakal menentukan sama ada anda dipanggil temu duga atau tidak.
Namun sayangnya, ramai calon melakukan kesilapan yang boleh menjejaskan peluang mereka, tanpa mereka sedari.
Berikut ialah tiga kesilapan terbesar yang sering berlaku dalam penulisan resume. Turut disertakan panduan untuk membetulkannya agar anda lebih menonjol di mata majikan.
1. Hanya menyenaraikan tugas harian, tanpa ‘impak’ kepada syarikat
Ramai calon hanya menggunakan resume mereka untuk menyenaraikan tugas-tugas yang dilakukan setiap hari dalam pekerjaan terdahulu.
Contohnya, “Mengurus akaun media sosial syarikat” atau “Membuat laporan jualan bulanan”. Walhal, tugas-tugas ini mungkin juga disenaraikan oleh beratus calon lain yang memohon jawatan sama.
Cara betulkan: Tonjolkan pencapaian dan impak anda
Daripada hanya memberitahu APA yang anda lakukan, beritahu juga BAGAIMANA anda melakukannya dengan cemerlang dan APA HASILNYA. Contohnya:
- “Meningkatkan jumlah pengikut Instagram syarikat sebanyak 60 peratus dalam masa 3 bulan menerusi kempen kreatif dan konsisten.”
- “Berjaya menutup jualan bernilai RM250,000 dalam suku tahun pertama 2024, melebihi sasaran sebanyak 40 peratus.”
Jika kerja anda tidak berkaitan dengan angka secara langsung, gunakan pendekatan berikut:
- Tanya diri sendiri: Bagaimana prestasi kerja saya diukur? Adakah melalui kualiti, ketepatan masa atau jumlah tugasan yang disiapkan?
- Gunakan impak organisasi: Contohnya, “Menulis 30 artikel SEO yang membantu laman web syarikat mencapai jumlah trafik tertinggi pada bulan Ramadan.”
- Gunakan naratif kualitatif: “Diiktiraf sebagai pemimpin pasukan yang berpengaruh dan pembawa budaya positif dalam organisasi.”
2. Resume tidak sesuaikan dengan jawatan yang dipohon
Satu lagi kesilapan besar ialah menggunakan resume yang sama untuk semua permohonan.
Cara betulkan: Selarikan resume dengan iklan jawatan
Baca dengan teliti deskripsi jawatan yang ditawarkan dan kenal pasti kata kunci penting seperti “pengurusan projek”, “pengalaman menggunakan SEO”, “analisis data”, dan sebagainya.
Pastikan semua kemahiran dan pengalaman penting ini disebut dengan jelas dalam resume anda.
Anda juga boleh:
- Gunakan versi asas berbeza untuk setiap bidang kerjaya yang anda minati (contohnya satu untuk pemasaran, satu lagi untuk penulisan kandungan), dan kemudian ubah sedikit mengikut keperluan setiap permohonan.
- Gunakan bantuan teknologi AI seperti ChatGPT atau platform penulisan resume untuk membantu menyelaraskan resume anda dengan keperluan jawatan.
3. Resume terlalu panjang, sarat dengan maklumat yang tidak perlu
Ada calon yang terlalu ghairah meletakkan segala pengalaman sejak zaman praktikal, walaupun ia sudah tidak relevan lagi. Ada pula yang menghasilkan resume sehingga empat muka surat.
Cara betulkan: Fokus pada yang penting dan masih relevan sahaja
Resume yang efektif bukanlah yang paling panjang, tetapi yang paling padat dan relevan. Antara tip penting:
- Hadkan resume kepada satu muka surat jika anda memiliki kurang daripada lima tahun pengalaman kerja.
- Dua muka surat sudah memadai jika anda sudah berpengalaman lebih lima tahun.
- Tumpukan pada 5–10 tahun terakhir, terutama pengalaman yang berkait rapat dengan jawatan yang dipohon.
- Singkirkan pengalaman awal kerjaya jika ia tidak lagi relevan dengan hala tuju semasa.
Resume anda adalah tiket pertama ke dunia kerjaya yang anda impikan. Jangan biarkan kesilapan kecil ini merugikan peluang anda.
Semoga bermanfaat.
BACA: 2 “Red Flags” Calon Dalam Sesi Temu Duga
BACA: 2 Soalan Ini Lebih Penting Berbanding Resume Semasa Interview Kerja – CEO Indeed
BACA: Ini 3 Tip Penting Runding Gaji Semasa Temu Duga
Sumber: CNBC