Lelaki Tinggalkan Nota Perpisahan Di Jambatan, Rupanya Sedang Santai Makan Soto
YOGYAKARTA, 9 Jun – Seorang lelaki yang disangka cuba menamatkan nyawanya selepas meninggalkan motosikal dan nota perpisahan di Jambatan Kretek, Gunungkidul ditemui dalam keadaan selamat dan sedang menikmati soto di sebuah warung.
Menurut Ketua Bahagian Komunikasi Awam Polis Daerah Bantul, AKP I Nengah Jeffry Prana Widnyana, kejadian berlaku pada 8 Jun sekitar pukul 11.30 malam waktu tempatan.
Beliau berkata, orang awam menemui sebuah motosikal jenis Suzuki Shogun berwarna biru yang ditinggalkan di atas jambatan bersama sehelai kertas mengandungi nota perpisahan.
“Sehelai kertas mengandungi pesanan permintaan agar menyampaikan khabar kepada keluarga dan pasukan SAR. Dalam pesan tersebut tertulis nama lelaki berkenaan yang disyaki warga Depok Sleman,” katanya pada 9 Jun.
Polis yang menerima laporan tersebut segera ke lokasi untuk menjalankan siasatan dan turut menghubungi keluarga individu tersebut.
Walau bagaimanapun, keterangan awal daripada beberapa saksi di lokasi mendapati tiada tanda-tanda bahawa lelaki itu terjun dari jambatan.
“Keterangan para pemancing di bawah jambatan tidak mendengar bunyi orang terjun ke dalam air dan ada saksi yang melihat lelaki tersebut berjalan di atas jambatan ke arah selatan,” jelasnya.
Berikutan itu, operasi mencari individu berkenaan dilancarkan bersama ahli keluarga. Tidak lama kemudian, lelaki itu ditemui sedang makan di sebuah warung.
“Individu itu ditemui dalam keadaan sihat di warung soto,” jelas Jeffry.
Jeffry turut memaklumkan bahawa lelaki berkenaan merupakan pesakit tetap di klinik kesihatan mental.
“Lelaki tersebut merupakan pesakit rutin di klinik kesihatan mental,” tambahnya.
Pihak polis kini masih menyiasat motif di sebalik tindakannya yang meninggalkan nota perpisahan tersebut hingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
Sumber: Tribun
BACA: Pahang Mahu PBT Hentikan Penjualan Vape Selewat-lewatnya Awal 2026
BACA: Bukan Semua Kena, Ini 5 Barang Yang Tak Disangka Terlepas Cukai Bermula 1 Julai 2025