Utama

Berita

Berita

Sukan

Politik

Berita

Berita

Berita

Berita

Sukan

Politik

Berita

Berita

Kanak-kanak 1 Tahun Muntah Cacing Dari Hidung, Mulut
Seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun telah mengejutkan sekumpulan doktor apabila memuntahkan cacing gelang melalui mulut dan hidungnya, lapor portal Kompas.
Insiden tular itu dilaporkan berlaku di Kampung Sungai Petai, Kecamatan Talo Kecil, Kabupaten Seluma, Bengkulu di Indonesia pada Ahad lalu.
Kompas melaporkan bahawa cacing sebesar lidi penyapu didapati keluar dari hidung dan mulut mangsa sebelum kanak-kanak itu dibawa ke Rumah Sakit Umum Daerah (RSUD) Bengkulu untuk menerima rawatan intensif.
Pengarah RSUD Bengkulu, Eva Debora Siahaan menjelaskan hasil imbasan X-ray mendapati terdapat gumpalan cacing di dalam perut mangsa.
“Mangsa dirawat secara intensif di RSUD Bengkulu. Menurut doktor pakar kanak-kanak, mangsa perlu menjalani pembedahan kerana gumpalan cacing di dalam perut tidak dapat dikeluarkan secara normal,” ujarnya ketika dihubungi wartawan tempatan.
Tambah Eva, mangsa mengalami demam panas, batuk berkahak, gelisah dan sesak nafas selepas cacing keluar dari hidung dan mulutnya.
“Oleh kerana mangsa perlu menjalani pembedahan, pihak hospital telah merujuk kes ini ke dua hospital
“Melalui Sistem Rujukan Terintegrasi, pihak Rumah Sakit Umum Daerah (RSUD) M. Yunus memberi maklum balas, dan mangsa telah dirujuk ke sana,” katanya lagi.
Menurut portal Kompas, kakak mangsa yang berusia empat tahun turut dijangkiti cacing dalam perutnya. Kanak-kanak perempuan itu kemudian dirujuk ke Rumah Sakit (RU) Ummi untuk menjalani pembedahan.
Eva memberitahu pihak keluarga tidak menyedari bahawa adik-beradik itu mengalami jangkitan cacing yang serius.
Difahamkan, jangkitan cacing tersebut disebabkan oleh amalan hidup tidak sihat, seperti kerap bermain di tanah, tidak memakai kasut, serta tidak membasuh tangan dan kaki sebelum makan.
“Telur cacing boleh melekat pada tangan sebelum masuk ke dalam mulut. Ia kemudian membiak di dalam perut sehingga jumlahnya menjadi banyak. Kukunya juga kotor dan dipenuhi tanah,” jelasnya lagi.
Sumber: Kompas