Utama

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

22 Individu Ditahan Dipercayai Ejen Perisik Israel – Polis Iran
TEHRAN — Seramai 22 individu telah ditahan oleh pihak polis Iran di wilayah Qom atas dakwaan mempunyai kaitan dengan perkhidmatan perisikan Israel sejak 13 Jun lalu, lapor agensi berita Fars menerusi portal berita AFP.
“Sebanyak 22 individu telah dikenal pasti dan ditahan atas tuduhan berhubung perkhidmatan perisik Israel, menggugat ketenteraman masyarakat serta memberi sokongan kepada negara itu,” katanya seperti dipetik Fars.
Tangkapan tersebut menyusuli pengumuman polis Iran pada Khamis lalu mengenai penahanan 24 lagi individu yang dituduh menjadi perisik Israel dan cuba mencemarkan imej Iran, menurut agensi berita Tasnim.
Selain itu, seorang warga asing berbangsa Eropah turut ditahan atas dakwaan melakukan kegiatan perisikan, namun butiran lanjut seperti kewarganegaraan dan tarikh penahanan tidak didedahkan.
Iran secara konsisten melaporkan tangkapan terhadap individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengintipan.
Sementara itu, pertubuhan hak asasi manusia berpangkalan di Norway, Iran Human Rights, melaporkan sekurang-kurangnya 223 individu telah ditahan di seluruh negara atas dakwaan mempunyai hubungan dengan Israel, sambil memberi amaran bahawa jumlah sebenar berkemungkinan lebih tinggi.
Sebelum ini, Komando Keselamatan Siber Iran mengumumkan bahawa beberapa cubaan Israel untuk mengganggu sistem infrastruktur penting negara, termasuk rangkaian perbankan, berjaya digagalkan sejak tercetusnya konflik antara kedua-dua pihak, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik Agensi Berita Mehr pada Jumaat.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Komando itu memaklumkan antara kejayaan utama yang dicapai ialah menangkis serangan “distributed denial-of-service” (DDoS) berskala besar, mengehadkan akses kumpulan penggodam kepada sistem sabotaj dan kecurian data, serta mengakibatkan kerosakan sebahagian ke atas sistem kawalan dan perintah (C4I) Israel yang berkait dengan operasi ketenteraan.
Selain itu, Iran turut menyekat usaha mengeksploitasi perisian hasad menerusi telefon mudah alih oleh pihak musuh, menurut kenyataan itu lagi.
Komando Keselamatan Siber Iran turut memberi amaran bahawa mana-mana individu yang bersekongkol dengan Israel akan dikenal pasti dan dihadapkan ke muka pengadilan.
Konflik ketenteraan tercetus pada 13 Jun lalu apabila Israel melancarkan serangan udara ke atas beberapa lokasi di Iran, termasuk kemudahan tentera dan nuklear, yang mendorong Tehran melancarkan serangan balas.
Sementara itu, media Iran melaporkan seramai 639 orang terbunuh dan lebih 1,300 lagi cedera dalam serangan Israel ke atas negara itu
Sumber: AFP