Bagi memastikan generasi akan datang tidak lagi merokok, New Zealand dilaporkan akan mengharamkan penjualan tembakau atau rokok kepada rakyatnya yang dilahirkan selepas tahun 2008.
Undang-undang berkaitan pengharaman itu dijangka akan digubal pada tahun depan, lapor BBC.
Menteri Kesihatan, Dr Ayesha Verall berkata mereka mahu memastikan golongan muda tidak lagi merokok pada masa akan datang.
Menurutnya, langkah itu adalah sebahagian daripada tindakan keras terhadap tabiat merokok yang diumumkan pada Khamis.
Menyambut baik langkah tersebut, doktor dan pakar kesihatan lain di negara itu turut menyokong pembaharuan tersebut yang dijangka akan mengurangkan akses kepada tembakau dan menyekat paras nikotin dalam rokok.
“Ia akan membantu orang ramai berhenti atau beralih kepada produk yang kurang berbahaya dan mungkin akan mengurangkan ketagihan nikotin dalam kalangan orang muda,” kata Prof Janet Hook dari Universiti Otago.
Dalam pada itu, New Zealand juga berazam untuk mencapai matlamat nasional untuk mengurangkan kadar merokok kebangsaan kepada 5% menjelang 2025, dengan matlatam untuk menghapuskannya sama sekali.
Ketika ini, dianggarkan 13% daripada orang dewasa di New Zealand merokok dan ianya turun daripada 18% kira-kira sedekad yang lalu.
Kementerian Kesihatan New Zealand berkata merokok menyebabkan satu daripada empat kanser dan kekal sebagai punca utama kematian yang boleh dicegah bagi lima juta penduduknya.
Sebagai sebahagian daripada tindakan keras yang diumumkan pada Khamis, kerajaan negara itu juga memperkenalkan kawalan tembakau utama termasuk mengehadkan dengan ketara tempat rokok boleh dijual untuk mengeluarkannya dari pasar raya dan kedai serbaneka.
Bilangan kedai yang dibenarkan untuk menjual rokok akan dikurangkan secara drastik daripada 8,000 pada ketika ini kepada bawah 500.
Sumber: BBC