Perancangan untuk tempoh persaraan adalah sangat penting, terutamanya dari segi kewangan bagi menjamin kelangsungan hidup pada hari tua. Oleh itu, individu disarankan untuk mendapatkan khidmat nasihat yang bertauliah untuk rancangan persaraan.
Berita baik untuk pencarum bagi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pihak KWSP turut menyediakan Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) secara percuma di beberapa cawangan di seluruh Malaysia.
RAS merupakan sebahagian rancangan jangka panjang KWSP yang bertujuan membantu ahli supaya lebih celik kewangan, di samping memahami dan meningkatkan simpanan persaraan.
Selain perundingan perancangan persaraan, skop RAS turut termasuk perundingan caruman sukarela (i-Saraan, Caruman Pilihan Sendiri, i-Suri dan Caruman Simpanan Tambahan), produk dan perkhidmatan KWSP (pengeluaran 50, 55, 60 dan RM1 juta) serta perancangan kewangan termasuk i-Invest dan Simpanan Shariah.
Senarai cawangan KWSP mengikut negeri yang menawarkan khidmat RAS secara percuma kepada pencarum adalah seperti berikut:
- Selangor – Petaling Jaya, Kajang, Klang, Shah Alam, Puchong, Gombak, Rawang dan Kuala Selangor
- Wilayah Persekutuan (WP) – Kuala Lumpur, Wangsa Maju, Jalan Raja Chulan, Kepong dan Seri Petaling
- Perak – Ipoh, Teluk Intan, Taiping, Manjung dan Parit Buntar
- Pulau Pinang – Georgetown, Seberang Jaya dan Bayan Baru
- Kedah – Alor Setar, Sungai Petani dan Kulim
- Perlis – Kangar
- Johor – Johor Bahru, Batu Pahat, Kluang, Kulai dan Segamat
- Melaka – Bandar Melaka
- Negeri Sembilan – Seremban, Bahau dan Nilai
- Pahang – Kuantan, Raub dan Temerloh
- Terengganu – Kuala Terengganu dan Kemaman
- Kelantan – Kota Bharu dan Tanah Merah
- Sabah – Kota Kinabalu, Keningau, Lahad Datu, Tawau dan Sandakan
- WP Labuan – Labuan
- Sarawak – Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu
Terdahulu, memetik laporan Bernama, pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu mendapatkan khidmat nasihat kewangan daripada mana-mana agensi berkaitan, sebelum membuat keputusan mengeluarkan wang simpanan persaraan mereka.
Penganalisis ekonomi dari Putra Business School Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata ini penting, bagi memastikan golongan itu membuat keputusan sewajarnya terutama tidak menjejaskan simpanan hari tua mereka.
“Keputusan kerajaan membenarkan pengeluaran khas caruman KWSP sebanyak RM10,000 menunjukkan tanda prihatin terhadap isu yang melanda rakyat, terutama melibatkan pencarum KWSP.
“Walaupun ekonomi semakin pulih, ada beberapa kumpulan masyarakat yang masih terkesan akibat pandemik COVID-19, termasuk musibah banjir baru-baru ini.
“Namun, kerajaan perlu memastikan ada ruang dan peluang untuk pencarum mendapatkan khidmat nasihat dan bimbingan kewangan secara berterusan, sebagai contoh melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), bagi memastikan pengeluaran secara optimum dan tidak disalahgunakan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.