Indonesia Impi Anjur Piala Dunia 2034, Tuan Rumah Bersama Dengan Malaysia, Singapura & Australia
Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) memasang impian untuk menjadi penganjur Piala Dunia 2034 dengan tiga tuan rumah yang lain iaitu Malaysia, Singapura dan Australia.
Perkara itu dimaklumkan oleh Presidennya, Erick Thohir sendiri, lapor CNN Indonesia.
Walaupun ketika ini tiada memorandum persefahaman diantara keempat-empat negara ini, Erick berpendapat negara-negara tersebut menunjukkan minat untuk menjadi rakan kongsi.
Tambahnya, beliau juga telah berbincang dengan wakil kerajaan Malaysia dan Singapura. Kedua-dua negara ini telah bersetuju dengan usaha Indonesia untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034.
“Saya akan membincangkan semula perkara ini sekiranya ia mempunyai peluang yang tinggi,” katanya ketika ditemubual Sydney Morning Herald.
Beliau juga membantah dakwaan negera berkenaan dianggap tidak layak untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia. Ia susulan beberapa kes rusuhan hingga menyebabkan kematian yang pernah berlaku dalam liga domestik di Indonesia.
Dalam temu bual yang sama, Erick juga menafikan bahawa Australia lebih memilih New Zealand untuk menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia.
”Tandatangan kerjasama antara PSSI, FA, FAS dan FAM akan diketahui pada 31 Oktober ini. Jadi, kami masih dalam perbincangan sama ada mahu membida Piala Dunia 2034 atau tidak,” katanya lagi.
Menurut Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), proses permohonan untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034 telah dibuka pada 4 Oktober dan berakhir 31 Oktober.
BACA JUGA: FIFA Singkir Indonesia Sebagai Tuan Rumah Piala Dunia B-20
Sehingga kini, hanya negara Arab Saudi yang telah menyerahkan surat hasrat (LOI) kepada FIFA secara rasmi untuk membida hak penganjuran Piala Dunia FIFA 2034.
Negara berkenaan turut mendakwa mendapat sokongan daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Sementara itu, beberapa negara lain seperti China, dan Kazakhstan bersama Uzbekistan turut berminat untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034 itu.
Bagaimanapun, Indonesia sehingga kini belum menyerahkan surat rasmi untuk menjadi tuan rumah kejohanan itu.
Semalam, Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi (SAFF) dalam satu kenyataan melaporkan Arab Saudi telah menyerahkan surat hasrat (LOI) kepada FIFA, lapor Saudi Gazette.
Presiden SAFF, Yasser Al Misehal mengesahkan bidaan itu selepas menandatangani LOI dan mengukuhkan lagi komitmen kerajaan untuk tujuan tersebut.
Tawaran bersejarah itu sekali gus mewakili percubaan pertama Arab Saudi untuk menjadi tuan rumah kejohanan berprestij tersebut
Sumber: CNN Indonesia