Siakap Keli
bayi lelaki banjir
Kredit: BERNAMA

Bayi Lelaki 18 Bulan Korban Pertama Banjir Di Kelantan

Bayi Lelaki 18 Bulan Korban Pertama Banjir Di Kelantan

KOTA BHARU, 26 Nov (Bernama) — Seorang bayi lelaki berusia 18 bulan menjadi korban pertama banjir di Kelantan kali ini apabila ditemukan lemas di sungai berhampiran rumahnya dekat Kampung Kenari, di sini pada pukul 12.17 tengah hari tadi.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit dan berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini, untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri dalam kenyataan memaklumkan mayat mangsa ditemukan pada pukul 1.40 tengah hari oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang menjalankan operasi mencari di kawasan bayi itu dilaporkan terjatuh.

“Berdasarkan laporan, mangsa dikatakan bermain di belakang rumah sebelum tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh kakitangan Kementerian Kesihatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, media melaporkan kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang dilaporkan hilang sejak semalam selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang di Taman Goodwood, Bukit Baru di sini, ditemukan lemas pada 9.30 pagi ini.

Mayat Muhammad Danish Mohd Faizal itu ditemukan di Taman Desa Baru dalam keadaan terapung kira-kira 1.3 kilometer dari lokasi asal oleh seorang lelaki yang memaklumkan perkara itu kepada Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Melaka.

Sumber: BERNAMA

Nurhanis

Mungkin tidak lagi menjadi penulis, tetapi jejakku masih di sini

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.