Siakap Keli

Bekas Pelajar TVET Mampu Buka Tiga Cawangan Syarikat Fabrikasi & Perpaipan, Gajikan Lebih 80 Orang Staf

Bekas Pelajar TVET Mampu Buka Tiga Cawangan Syarikat Fabrikasi & Perpaipan, Gajikan Lebih 80 Orang Staf

Pada 27 Mei lepas, para pelajar SPM 2023 baru sahaja menerima keputusan masing-masing.

Walaupun keputusan yang diterima adalah pelbagai, namun sudah tentu setiap daripada mereka tetap memasang impian untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi.

Salah satu laluan yang boleh dipilih tentunya adalah dengan mendaftar masuk ke program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional atau TVET.

Jadi, kali ini kami hendak berkongsi dengan anda beberapa kisah kejayaan pelajar TVET sebagai rujukan.

Pencipta OHSEM Ruler, berjaya dijual hingga ke luar negara

Salah seorang graduan TVET yang diangkat menjadi ikon adalah Aminuddin Bin Idris iaitu pelajar IKBN Peretak Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Beliau yang merupakan graduan jurusan jahitan pakaian lelaki berjaya mencipta pembaris serba guna yang dinamakan sebagai OHSEM RULER.

@jarumterbangbrand

GUNA 1 PEMBARIS JE!!! DAH SIAP KAIN KITE #jombuatduitkepok2 #jarumterbanglace #akademijarumterbang #jahitbaju #buatduitdarirumah #belajarsampaipandai

♬ Thank You for Being You – OctaSounds

Pembaris berkenaan dicipta untuk memudahkan kerja tukang jahit. Lebih mengagumkan, alat ciptaan anak tempatan dan graduan TVET itu terjual ribuan unit bukan sahaja di Malaysia, malah sehingga ke Singapura dan Brunei.

Gambar: Akademi Jarum Terbang

Beliau kini memiliki perniagaan dan juga bertindak sebagai Pengarah Syarikat Jarum Terbang International Sdn. Bhd.

Miliki syarikat fabrikasi dan perpaipan sendiri

Seorang lagi ikon TVET, Muhammad Qamarul Auji Imran juga tak kurang hebatnya. Lepasan TVET dari Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Timur di Jenagor, Terengganu ini kini sudah memiliki syarikat fabrikasi dan perpaipan sendiri.

Malah lebih manis, perniagaannya terus berkembang maju dan memiliki beberapa cawangan antaranya di Kuala Lumpur dan Labuan.

Gambar: BERNAMA

Rezeki itu kemudian mengalir dan dinikmati oleh orang lain apabila beliau mampu menggajikan lebih 80 orang pekerja untuk berkhidmat dengan syarikatnya.

Dalam pada itu, Qamarul juga merasa lega kerana jika diikutkan keputusan SPM, beliau langsung tidak layak ke universiti.

Namun begitu, dengan menyertai program TVET, kehidupannya berubah dan mampu mencapai kejayaan yang besar.

Kebolehpasaran graduan TVET cecah 95 peratus

Sebenarnya anda juga boleh mengecapi kejayaan seperti yang dinikmati oleh dua ikon di atas dengan menyertai program TVET.

Untuk pengetahuan anda semua, kebolehpasaran graduan TVET pada hari ini sudah pun mencapai 95 peratus.

Malah, ia bukan satu rahsia lagi bahawa graduan-graduan TVET sebenarnya menjadi pilihan ramai majikan dan industri-industri penting dalam negara.

Dari 2018 sehingga 2020, Politeknik dan Kolej Komuniti juga berjaya menghasilkan hampir 7,000 usahawan dalam kalangan graduan.

Ada di antara usahawan-usahawan ini berjaya menjana pendapatan sehingga lima angka sebulan dan menggajikan orang lain.

Jadi, memang tak salah kalau melanjutkan pelajaran melalui TVET kerana ada pelbagai program yang ditawarkan dan boleh dipilih.

Klik link di sini untuk senarai pengkhususan TVET yang boleh dimohon.

Sambutan Hari TVET Negara pada 7 & 8 Jun lepas.

Bukan itu sahaja, Hari TVET Negara yang ditetapkan pada 2 Jun setiap tahun juga menjadi bukti bahawa program ini sentiasa mendapat perhatian kerajaan.

Untuk tahun ini, sambutan Hari TVET Negara diadakan pada 7 dan 8 Jun lepas di Institut Latihan Perindustrian Kuala Langat.

Pelbagai aktiviti berjalan sepanjang dua hari penganjuran Hari TVET Negara, melibatkan Institut TVET Awam dibawah 12 kementerian dan pelbagai pemain industri swasta.

Malah, sambutan turut diserikan dengan kehadiran pemimpin-pemimpin tertinggi tanah air, terutamanya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam majlis tersebut, Perdana Menteri turut mengumumkan tambahan dana sebanyak RM200 juta untuk terus memperkasa program TVET di seluruh negara.

Ia menjadi berita yang sangat menggembirakan kerana danan tambahan ini akan dinikmati terus lebih daripada 13,000 pelajar TVET semasa.

Dana tambahan ini pula disalurkan khusus dalam bidang peralihan tenaga, industri berasaskan teknologi dan digital, industri elektrik dan elektronik bernilai tinggi, pertanian dan industri asas tani, serta industri nadir bumi.

Belum putus hala tuju? Sertai sahaja TVET

Jadi, kepada adik-adik yang baru sahaja menamatkan SPM dan masih belum memutuskan ke mana hala tuju di masa hadapan, sertai sahaja program TVET.

Ada pelbagai program berimpak yang ditawarkan untuk anda semua. Klik pautan ini https://www.tvet.gov.my/awam-kursus/carian untuk lihat sendiri senarai program-program yang ditawarkan.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.