Kes Konsesi Pasir MBI: SPRM Teliti 20 Projek Dipercayai Mempunyai Unsur Rasuah
KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang meneliti 20 projek pembangunan kerajaan negeri Selangor, kerana disyaki mempunyai unsur bayaran rasuah kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki.
Beliau berkata penelitian itu, hasil siasatan lanjut pihaknya berhubung kes rasuah konsesi perlombongan pasir melibatkan syarikat Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI), yang turut melibatkan seorang ahli politik yang pernah mempunyai pengaruh besar di Selangor.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama projek berkenaan tetapi memberitahu ia tidak mempunyai kaitan dengan pentadbiran negeri Selangor pada masa ini.
BACA: Kelahiran Hidup Meningkat 7.7 Peratus Pada 2023
Mengulas lanjut Azam berkata pihaknya juga kini sedang menyiasat lima buah syarikat dipercayai mempunyai pegangan saham milik dua individu yang ditahan dalam siasatan kes berkenaan serta ahli politik berpengaruh berkenaan.
“Buat masa ini hanya itu yang boleh dikongsikan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Meja Bulat Ketua Pesuruhjaya SPRM bersama Bank-Bank Komersial di sebuah hotel di sini hari ini.
Mengulas sama ada ahli politik berkenaan akan dipanggil dalam waktu terdekat bagi membantu siasatan, Azam berkata ia bergantung kepada perkembangan siasatan dan jika ia dirasakan perlu oleh pegawai penyiasat.
BACA: Hasil Siasatan Kematian Pakar Perubatan Patologi Akan Didedahkan – Dr Dzulkefly
“Ahli politik itu tunggu pegawai penyiasat saya selesaikan dahulu kerja siasatan mereka dan saya serahkan kepada mereka jika perlu memanggil, sesiapa pun tak kira ahli politik atau sebagainya untuk ditemu duga dan jawab soalan kami.
“Sehingga hari ini lebih 18 individu telah dipanggil bagi dirakam keterangan dan saya tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi akan dipanggil dan akan ada tangkapan baharu,” katanya.
Dalam pada itu Azam turut menafikan siasatan kes berkenaan bermotifkan politik.
Beliau berkata SPRM menjalankan siasatan berdasarkan makkumat dan aduan yang diterima dan siasatan akan dijalankan sekiranya ia melibatkan kes yang mempunyai kepentingan awam.
Pada Khamis, SPRM menahan dua individu melibatkan bekas Ketua Pegawai Operasi MBI dan seorang ahli perniagaan dalam siasatan kes berkenaan.
BACA: 3,847 Kanak-Kanak Dilapor Hilang Dari 2020 Hingga September Lepas
Sumber: Bernama