Siakap Keli
perpustakaan negara

Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) Anjur Program Bersama Wanita Pertama Malaysia Bergelar Sasterawan Negara

Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) Anjur Program Bersama Wanita Pertama Malaysia Bergelar Sasterawan Negara

KUALA LUMPUR, 24 Oktober 2024 : Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) hari ini telah mengadakan Majlis Pelancaran dan Tayangan Perdana Dokumentari Khas Program Kalam Karyawan Sasterawan Negara Dato’ Dr. Zurinah binti Hassan. Program yang disempurnakan oleh YBrs. Encik Edy Irwan bin Zulkafli, Timbalan Ketua Pengarah PNM telah dilaksanakan secara hibrid di Aras 10, Menara PNM dan bersiaran langsung di PNM TV Channel.

Bagi penerbitan dokumentari khas tahun ini, PNM telah mengangkat penyair wanita tersohor dan wanita pertama di Malaysia bergelar Sasterawan Negara (SN) iaitu Dato’ Dr. Zurinah binti Hassan, Sasterawan Negara ke-13. Ketokohan dan kearifan beliau dalam memperjuangkan bahasa, sastera dan budaya di Malaysia wajar dihargai.

Justeru itu, PNM mengambil inisiatif bekerjasama dengan SN Dato’ Dr. Zurinah binti Hassan untuk menerbitkan dokumentari khas bagi menyingkap perjalanan hidup beliau yang boleh memberi inspirasi kepada semua khususnya di kalangan generasi muda.

perpustakaan negara

Program Kalam Karyawan merupakan salah satu signature programme yang mendapat sokongan penuh Kementerian dan dilaksanakan secara tahunan untuk mengetengahkan warisan kesusasteraan negara di mana tokoh-tokoh yang terlibat menjayakan program ini dipilih daripada kalangan Sasterawan Negara yang banyak berbakti kepada kemajuan bidang kesusasteraan dan kebudayaan di Malaysia.

Di samping itu, ia diadakan untuk menghargai pencapaian hebat tokoh/individu dalam negara yang banyak menyumbang kepada bidang kesusasteraan dan kebudayaan serta dapat mempromosi dan mengetengahkan koleksi istimewa PNM kepada masyarakat umum.

perpustakaan negara

Sebagai sebuah institusi yang menyimpan dan memelihara khazanah warisan negara, PNM terus komited untuk memperoleh sebanyak mungkin koleksi-koleksi ilmu yang dimiliki oleh tokoh berwibawa di Malaysia bagi memperkayakan lagi Koleksi Peribadi PNM.

Sehingga September 2024 jumlah Koleksi Peribadi PNM adalah sebanyak 32,409 judul (41,250 naskhah) dan daripada jumlah ini, sebanyak 65 naskhah koleksi milik SN Dato’ Dr. Zurinah Hassan berjaya disimpan oleh PNM.

Kementerian berharap program sebegini berupaya memperkasa pembinaan pemikiran masyarakat Madani dalam aspek seni, Bahasa, budaya dan karya kreatif tanah air. Usaha sebegini juga pastinya dapat memartabat dan melestarikan sastera dan budaya intelektual negara secara menyeluruh merentas sempadan.

Nurul Naqiyah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.