Pembudayaan Generasi Lestari Sebagai Satu Budaya Hidup
JOHOR BAHRU – Jabatan Alam Sekitar terus komited dalam meningkatkan kesedaran generasi muda tentang kepentingan membudayakan amalan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar melalui pelbagai program, Jabatan menekankan matlamat pembangunan mampan (SDG) sebagai asas pendidikan alam sekitar untuk memastikan generasi muda memahami tanggungjawab mereka terhadap kelestarian alam.
Pembudayaan kelestarian melalui Program Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar (SLAAS), merupakan inisiatif bersama antara Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), dan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Program yang bermula pada tahun 2005 dan kini memasuki kitar kesembilan menyaksikan sekolah seperti di Johor Bahru yang terletak di kawasan bandaraya yang mempunyai kepadatan penduduk 2.5 juta orang berjaya melatih kemandirian murid dalam membentuk sifat cintakan alam sekitar.
SLAAS adalah antara usaha Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk melaksanakan Dasar Alam Sekitar Negara dan menyokong Matlamat Pembangunan Mampan, SDG yang menggalakkan pendidikan berkualiti dan pembelajaran sepanjang hayat.
“Saya percaya pelaksanaan program sebegini membuktikan kejayaan komitmen semua pihak, kerana pembudayaan alam sekitar ini telah berjaya menanam kecintaan kepada pembelajaran. Kejayaan ini dapat dilihat dalam pencapaian positif di SK Bukit Mutiara, yang mencatatkan peningkatan kehadiran murid sebanyak 95% dan peningkatan hampir enam peratus dalam Penilaian Aktiviti Jasmani, Sukan, dan Kokurikulum (PAJSK) dalam tempoh tiga tahun.” kata Dato’ Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, Ketua Pengarah Alam Sekitar.
Jabatan juga sentiasa komited memastikan penambahbaikan berterusan terhadap fungsi dan peranannya menjadi keutamaan, bagi memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan dapat memenuhi jangkaan orang awam kerana Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama.