Kanak-Kanak Tiga Tahun Maut Dalam Nahas Kereta, Treler
TANGKAK (Bernama) — Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut selepas kereta yang dinaiki bersama tujuh mangsa lain dipercayai ahli keluarganya terlibat dalam kemalangan di KM148.1 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, berhampiran Bukit Gambir, dekat sini petang semalam.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Jahairi Syukor berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kemalangan yang membabitkan sebuah kereta Proton Iswara dan sebuah lori treler itu kira-kira pukul 2.59 petang.
“Sebanyak enam anggota dan sebuah jentera LFRT dikejarkan ke lokasi kejadian dan didapati berlaku kemalangan yang membabitkan lori treler dan kereta.
“Dalam kemalangan itu, seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Selain itu, tujuh yang lain mengalami kecederaan terdiri daripada tiga lelaki dewasa, seorang wanita dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan dan kesemua mangsa telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata pemandu lori treler bagaimanapun, tidak mengalami sebarang kecederaan, dan operasi menyelamat selesai pada 3.44 petang.
BACA: 4 Sekeluarga Maut Tanah Runtuh Di Tengah Indonesia
BACA: Warga Emas Lemas Ketika Memukat Ikan
BACA: Hilang Sejak Jumaat Lepas, Junaida Ditemui Selamat Di Kuantan
Sumber: BERNAMA