3 Negeri Dijangka Hujan Lebat Sehingga Tengah Hari
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang diramal melanda tiga negeri sehingga jam 1 tengah hari nanti.
Menerusi muat naik di laman Facebook, seluruh Negeri Sembilan dan Melaka dijangka alami hujan lebat.
Beberapa kawasan di Johor tersenarai mengalami cuaca buruk iaitu Tangkak, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru.
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir ATAU dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” maklum MetMalaysia.
BACA: Jumlah Mangsa Banjir Meningkat Mendadak, Kelantan Catat Angka Tertinggi

Sementara itu, Bernama melaporkan beberapa kawasan di Selangor mula dinaiki air malam tadi mengakibatkan beberapa kawasan di Klang terjejas. Susulan itu, 117 orang daripada 29 keluarga dipindahkan ke dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar, seramai 21 mangsa ditempatkan di PPS Balai MPKK Bukit Kapar yang dibuka jam 8 malam tadi.
“PPS Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai yang mula beroperasi pada 12.15 tengah malam tadi pula menempatkan seramai 96 individu.
“Kedua-dua PPS tersebut menempatkan mereka yang terjejas di sekitar kawasan Kapar dan Meru,” ujarnya.
BACA: Hujan Berterusan Sejak Malam Tadi, Meru Dilanda Banjir
Terdahulu, sebanyak 13 projek mitigasi banjir di daerah Klang bernilai RM493.5 juta kini dalam proses pelaksanaan, lapor Bernama.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim memaklumkan sebanyak dua projek berjumlah RM359.7 juta merupakan peruntukan Kerajaan Pusat. Manakala 11 lagi merupakan peruntukan kerajaan negeri yang berjumlah RM133.8 juta.
Menurutnya, projek yang menerima peruntukan Kerajaan Pusat ialah Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Klang di Seksyen 25 Shah Alam, RTB Sungai Kapar Kecil dan Sungai Kapar Besar.
“…manakala bagi projek bawah kerajaan negeri, sebanyak tujuh dalam proses pelaksanaan antaranya membabitkan Projek Tebatan Banjir Sungai Kandis (Fasa 2), Rancangan Tebatan Banjir Sungai Rasau Fasa 2 dan kerja menaik taraf sistem saliran Taman Melawis.
“Empat lagi projek dalam proses prapelaksanaan antaranya projek Tebatan Banjir di Sungai Batu Enam Sementa dan menaik taraf sistem saliran di Batu 4 Jalan Kapar dan Taman Klang Utama Fasa 2,” ujarnya.
BACA: TNB Tutup 14 Lagi Pencawang Elektrik Di Kelantan
Sumber: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Bernama (1) (2)