Siakap Keli
anugerah media pembinaan 2024

40 Wartawan Dan Jurugambar Raih Anugerah Media Pembinaan 2024

40 Wartawan Dan Jurugambar Raih Anugerah Media Pembinaan 2024

KUALA LUMPUR, 26 NOVEMBER 2024: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) hari ini meraikan kecemerlangan 40 wartawan dan jurugambar di Anugerah Media Pembinaan CIDB 2024 (AMP 2024). Anugerah Media Pembinaan (AMP) tahun ini merupakan kali ke-tujuh dianjurkan oleh CIDB Malaysia dengan Kementerian Kerja Raya (KKR).

Anugerah ini memberi penghargaan kepada media yang telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran mengenai inisiatif-inisiatif Kerajaan Malaysia dalam industri pembinaan. Penyampaian anugerah pada hari ini, disampaikan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Ahmad Maslan, bersempena Malam Penghargaan Media Kementerian Kerja Raya.

Objektif AMP adalah menggalakkan kandungan kewartawanan dan media massa mengenai industri pembinaan. Ini termasuk kandungan yang mengupas isu semasa berkaitan pembinaan seperti keselamatan, kelestarian alam sekitar, penggunaan teknologi serta topik-topik lain yang berkaitan.

Sinar Harian menerusi wartawannya Nor Syamira Liana binti Nor Ashana telah memenangi tempat pertama dalam kategori Media Cetak & Portal Berita Laporan Khas Berita, dengan penulisan bertajuk ‘Tangki air bangkai’.

Manakala pemenang pertama untuk Media Cetak & Portal Berita Rencana dimenangi oleh Chua Wen Hui dari The Star dengan rencana bertajuk “Promising reality in construction jobs”.

anugerah media pembinaan 2024

Tempat pertama dalam kategori Media Penyiaran Televisyen & Video Dalam Talian dimenangi oleh wartawan RTM, Rozihan binti Mohd Raji menerusi liputannya, ‘Dokumentari Dia: Dato’ Baharuddin Abu Kassim’. Untuk kategori Fotografi tempat pertama dimenangi oleh Lek Kah Meng, jurufoto Sin Chew Daily, dengan gambarnya yang bertajuk ‘Welders Accompanied by Sparks 2’.

Bagi kategori anugerah infografik tempat pertama dimenangi oleh Mohd Izudin bin Ismail, Tung Eng Hwa, Foo Chern Hwan, Abdul Razak bin Ahmad Idris dan Muhammad Shyafiq bin Dzulkifli dari The Star dengan tajuk ‘Silicon Island’. Secara keseluruhan seramai 29 wartawan menerima anugerah utama dan seramai 11 wartawan menerima anugerah merit.

Buat pertama kalinya Anugerah Penyiaran Radio dan Anugerah Infografik Video diperkenalkan dalam AMP. Radio IKIM, Perak FM dan RTM Perak menerima hadiah merit untuk kategori radio, manakala tiada pemenang untuk kategori infografik video. 

Kesemua pemenang masing-masing membawa pulang wang tunai berserta sijil dan trofi.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.cidb.gov.my atau hubungi CIDB Careline di talian 03-5567 3300.

Nurul Naqiyah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.