Digelar “Mowgli” Dunia Nyata, Ini Kisah Hidup Dina Sanichar
Pasti ramai di antara kita pernah mendengar kisah “Mowgli”, seorang kanak-kanak lelaki yang dibesarkan oleh haiwan liar di dalam hutan.
Umum diketahui, kisah Mowgli adalah sebuah cerita ikonik yang terkandung dalam novel “The Jungle Book” karya penulis terkenal, Rudyard Kipling.
Bukan sahaja menjadi kegemaran ramai, malah kisah tersebut turut diterjemahkan ke pelbagai bahasa dan diadaptasi ke layar perak.
Versi filem Disney yang menampilkan watak Mowgli berjaya menghidupkan lagi keunikan cerita ini. Ia menjadikannya karya klasik yang masih diminati, bahkan hingga ke hari ini.
Namun, apa yang mungkin ramai tidak tahu adalah kisah sebenar Mowgli yang dipercayai diilhamkan daripada kisah kehidupan tragis seorang kanak-kanak, Dina Sanichar.
Dina, yang juga digelar sebagai “Mowgli dunia nyata”, melalui kehidupan ‘misteri’ yang tidak kalah menarik dengan kisah fiksyen Mowgli.
Penemuan Dina Sanichar, kanak-kanak yang dibesarkan oleh serigala
Pada 1867, sekumpulan pemburu di Bulandshahr, India, melakukan penjelajahan di kawasan hutan yang gelap.
Dalam perjalanan mereka, sebuah pintu gua menarik perhatian kerana kelibat seekor serigala yang kelihatan seperti sedang menjaga pintu tersebut.
Sebaik mendekati gua itu, mereka dikejutkan dengan penemuan seorang kanak-kanak lelaki berusia sekitar enam tahun yang hidup seperti haiwan liar.
Kanak-kanak ini tidak memberi sebarang respon apabila dipanggil, malah menunjukkan sifat yang sangat takut kepada manusia.
Kerana bimbang akan keselamatannya, pemburu tersebut membawa kanak-kanak itu ke Sikandra Mission Orphanage di Agra.
Di sana, kanak-kanak tersebut diberi nama Dina Sanichar, yang bermaksud “Sabtu” dalam bahasa Hindi, bersempena hari ketibaannya di rumah anak yatim itu.
Dina Sanichar sukar menyesuaikan diri dengan kehidupan manusia
Dina menjadi perhatian di rumah anak yatim kerana kelakuannya yang menyerupai haiwan.
Dia merangkak menggunakan keempat-empat anggota badannya, hanya memakan daging mentah dan menggigit tulang seolah-olah mengasah giginya seperti serigala.
Menurut catatan penyelia rumah anak yatim, Erhardt Lewis, Dina akan menghidu makanan terlebih dahulu sebelum makan. Jika dia tidak menyukai bau makanan itu, dia akan membuangnya.
Tidak hanya itu, Dina juga langsung tidak memahami bahasa manusia, dan dia hanya mampu mengeluarkan bunyi lolongan seperti serigala.
Justeru, para mubaligh berusaha mengajar Dina cara berkomunikasi, tetapi usaha tersebut ‘terbatas’.
Dina akhirnya dapat memahami beberapa perkataan asas, namun tidak pernah mampu bertutur hingga akhir hayatnya.
Akan tetapi, tingkah laku Dina perlahan-lahan berubah. Dia belajar berjalan dengan dua kaki, memakai pakaian dan bahkan mengamalkan tabiat manusia seperti merokok.
Walaupun Dina menghabiskan sebahagian besar hidupnya bersama manusia, dia tidak pernah benar-benar menyesuaikan diri dengan dunia moden.
Dina meninggal dunia pada usia 35 tahun akibat penyakit tuberkulosis (penyakit batuk kering atau tibi) pada 1895.
Ada yang mendakwa Dina Sanichar bukan satu-satunya kanak-kanak ‘liar’ yang ditemukan
Bagaimanapun, difahamkan bahawa Dina bukanlah satu-satunya kanak-kanak ‘liar’ yang ditemui di kawasan tersebut.
Beberapa kanak-kanak lain, termasuk dua lelaki dan seorang perempuan, juga pernah ditemui dalam keadaan serupa.
Penemuan ini mencetuskan pelbagai spekulasi, di mana ada pihak yang percaya kisah ini direka untuk menarik perhatian masyarakat.
Di sisi lain, ada juga yang berpendapat bahawa kanak-kanak ini sebenarnya mengalami kecacatan fizikal atau mental, yang kemudian disalah anggap sebagai “dibesarkan oleh haiwan”.
BACA: Ini Senarai Lapan Bandar Paling Sesak Di Malaysia 2024
BACA: Harga Bitcoin Melebihi US$109,000 Buat Pertama Kali Dalam Sejarah
BACA: Ini Jenis Plug & Barang Elektrik Yang Sesuai Digunakan
Sumber: ati