Harga RON97 & Diesel Di Semenanjung Turun
Kerajaan menerusi Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan penurunan harga runcit minyak RON97 dan diesel di Semenanjung Malaysia, bermula 10 April hingga 16 April 2025.
Penurunan harga tersebut diumumkan menerusi satu kenyataan siaran media di laman X kementerian berkenaan.
Harga runcit minyak RON97 dikurangkan sebanyak lima sen kepada RM3.28 seliter bagi seluruh negara. Bagi harga runcit bagi diesel pula, sebanyak lima sen diturunkan menjadi RM2.98 seliter bagi Semenanjung Malaysia.
Biarpun begitu, harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan dikekalkan pada paras RM2.15 seliter.
Begitu juga dengan RON95 yang kekal pada paras RM2.05 seliter.
“Kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit RON97 dan diesel dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak dan juga menyokong kestabilan harga.
“Kerajaan akan terus mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” maklum Kementerian Kewangan.
Sumber: Kementerian Kewangan (MOF)