Perancis Umum Rancangan Untuk Iktiraf Negara Palestin
Paris – Perancis mengumumkan perancangan untuk mengiktiraf negara Palestin dalam masa terdekat dan mungkin memulakan langkah tersebut di persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada Jun.
Menerusi laporan AFP, perkara tersebut diumumkan oleh Presiden Perancis, Emmanuel Macron dalam satu temubual.
“Kita mesti bergerak ke arah pengiktirafan dan kita akan lakukannya dalam masa beberapa bulan lagi.
“Matlamat kami ialah mempengerusikan persidangan ini bersama Arab Saudi pada Jun, bagi memuktamadkan gerakan pengiktirafan bersama beberapa pihak.
“Saya akan lakukan sedemikian kerana saya percaya pada satu ketika, tindakan ini adalah wajar, dan saya juga mahu turut serta dalam usaha secara kolektif ini,” katanya.
Perkara ini juga menunjukkan komitmen negara tersebut terhadap keselamatan kolektif dalam rantau ini.
Sebagai pengetahuan, Perancis telah lama menyokong penyelesaian dwinegara dalam konflik Israel-Palestin. Namun begitu, pengiktirafan rasmi oleh Perancis ini bakal menandakan perubahan polisi yang besar dan berisiko menyinggung perasaan Israel yang menegaskan tindakan tersebut adalah terlalu awal.
Macron sebelum ini juga menentang idea yang dibangkitkan oleh Trump untuk memindahkan penduduk Palestin. Menurutnya, semenanjung Gaza bukan ‘projek hartanah’.
“Pemikiran mudah kadang kala tidak membantu,” katanya.
Sementara itu, Menteri Luar Negeri Palestin, Varsen Aghabekian Shahin berkata pengiktirafan terhadap negara Palestin akan menjadi satu langkah ke arah yang tepat bagi menjaga hak rakyat Palestin.
Untuk pengetahuan, pada Mei 2024, Ireland, Norway dan Sepanyol mengumumkan pengiktirafan terbabit. Ia diikuti oleh Slovenia pada Jun.
Sumber: AFP
BACA: Pukul 2 Pagi Datang ‘Beraya’, Tular Kumpulan Gajah Muncul Depan Rumah
BACA: Lelaki Tunjuk Sistem Makan Tengah Hari Sekolah Rendah Di Jepun