Amanda Nguyen Jadi Wanita Vietnam Pertama Naik Ke Angkasa
West Texas – Saintis dan aktivis warganegara Vietnam-Amerika, Amanda Nguyen mencipta sejarah apabila menjadi wanita Vietnam pertama naik ke angkasa, lapor Tuoi Tre News.
Pernah menerima pencalonan Anugerah Nobel 2019, Nguyen menerima jemputan menyertai kru semua wanita misi NS-31 milik syarikat aeroangkasa, Blue Origin. Tepat jam 8 pagi waktu tempatan, Nguyen bersama lima lagi kru wanita menaiki roket New Shepard.
30 minit kemudian, mereka berlepas ke angkasa dari Tapak Pelancaran Satu Blue Origin melepasi sempadan angkasa lepas berjarak 100 kilometer dari atas paras laut, Garisan Kármán.
Nguyen menjalani misi 11 minit tersebut bersama juruterbang dan wartawan, Lauren Sanchez, bintang pop, Katy Perry, pengacara CBS Mornings, Gayle King, jurutera aeroangkasa dan bekas pekerja NASA, Aisha Bowe dan penerbit filem bebas, Kerianne Flynn.
Pengembaraan ke angkasa ini menjadi detik bersejarah buat Nguyen yang bukan sahaja bergelar wanita Vietnam pertama ke angkasa. Malah, beliau turut menjadi wanita Asia Tenggara pertama ke angkasa.
Misi ke-11 roket New Shepard ini turut mencatat sejarah sebagai penerbangan wanita sahaja yang pertama di dunia selepas pengembaraan solo Valentina Tereshkova pada 1963.
Meneruskan misi ke angkasa itu, Nguyen turut membawa bersama 169 biji benih bunga teratai jenis Nelumbo nucifera. Biji benih ini disediakan oleh Pusat Angkasa Negara Vietnam di bawah Akademi Sains dan Teknologi Vietnam.
Dipilih daripada Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Bunga dan Hiasan, Akademi Sains Pertanian Vietnam, biji benih tersebut dibawa bagi tujuan penyelidikan terhadap kesan keadaan angkasa lepas terhadap pertumbuhan biji benih selepas dibawa pulang dari angkasa.
Penyertaan Nguyen dalam misi ini sebagai sebahagian daripada Program Angkasawan Warganegara Angkasa Lepas Kemanusiaan. Program ini bertujuan memperkasa individu bagi menangani cabaran global dengan perspektif yang meluas.
Latar belakang Amanda Nguyen
Lahir pada 1991, Nguyen menamatkan pengajian Sarjana Mudanya di Universiti Harvard. Dalam usaha merealisasikan impian, wanita tersebut berjaya mendapat tempat sebagai pelatih di NASA pada 2013.
Beliau pernah menjalankan penyelidikan di Pusat Astrofizik Harvard-Smithsonian, MIT, NASA dan Institut Antarabangsa untuk Sains Astronautikal (IIAS).
Selepas berdepan serangan seksual, wanita tersebut nekad untuk melepaskan impiannya menjadi angkasawan. Selama lebih sedekad, Nguyen mengabdikan diri memberi sokongan terhadap mangsa keganasan seksual.
Mengasaskan organisasi hak sivil tidak berasaskan keuntungan, Rise, beliau kini memegang jawatan sebagai CEO bagi NGO yang memperjuangkan hak mangsa serangan itu. Nguyen turut pernah dinamakan Wanita Terbaik Tahun 2022 majalah Time.
https://www.instagram.com/reel/DIRI5BrxJY_/?utm_source=ig_web_copy_link&igsh=MzRlODBiNWFlZA==
Sumber: Tuoi Tre News, Instagram Amanda Nguyễn