Kilang Tayar Continental Di Alor Setar Bakal Tutup
Continental dilaporkan akan menutup operasi kilang pembuatan tayarnya di Alor Setar menjelang akhir tahun ini.
Memetik laporan Astro Awani, langkah penutupan itu akan menjejaskan seramai 950 orang pekerja.
Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata mereka membuat keputusan terbabit selepas melakukan kajian perniagaan secara menyeluruh. Ia bagi memastikan daya saing dan prestasi perniagaan di rantau Asia Pasifik.
“Continental berusaha mengoptimumkan portfolio produk tempatan dan jejak pengeluarannya mengikut permintaan pelanggan yang berubah.
“Keutamaan syarikat adalah untuk menyokong pekerja yang terjejas denbgan menyediakan bantuan seperti kaunseling kerjaya dan meneroka peluang pekerjaan di dalam dan luar Continental,” kata syarikat itu.
Tambah Continental lagi, Malaysia terus kekal sebagai pasaran utama bagi syarikat itu di rantau Asia Pasifik.
BACA: Kilang Tayar Goodyear Shah Alam Bakal Tutup, 550 Pekerja Terjejas
“Syarikat ini menegaskan komitmennya kepada pelanggan dan rakan kongsi di Malaysia, dengan menekankan bahawa hubungan jangka panjang dan kepercayaan tetap menjadi teras perniagaan di negara ini.
“Rantau Asia Pasifik adalah kawasan pertumbuhan strategik bagi Continental. Dengan rangkaian pengeluaran tayar yang kukuh, syarikat ini melayani pelanggan penggantian dan pelanggan peralatan asal.
“Kilang pengeluaran tayar terletak di Hefei (China), Rayong (Thailand), Modipuram (India), Kalutara (Sri Lanka) dan Petaling Jaya (Malaysia),” jelasnya lagi.
Untuk pengetahuan, kilang tayar ini mula beroperasi di Alor Setar pada 20 Disember 1979. Sejak Mei 2012, ia menjadi anak syarikat milik penuh Continental.
Kawasannya berkeluasan kira-kira 133,000 meter persegi, kilang terbabit menghasilkan tayar untuk motosikal, kereta penumpang dan trak ringan untuk pasaran Asia Pasifik.
Imbas kembali, pada tahun lalu Goodyear juga mengumumkan untuk menutup operasi kilangnya di Shah Alam. Sekian lama bertapak di Malaysia, penutupan berkenaan merupakan sebahagian daripada langkah yang diambil dalam program transformasi, Goodyear Forward.
Presiden Goodyear Asia Pasifik, Nathaniel Madaran berkata langkah yang diambil bertujuan mengoptimakan operasi syarikat berkenaan ke arah mencapai pengurangan kos operasi sebanyak USD 1 bilion menjelang 2025.
Sumber: Astro Awani