Siakap Keli
Kredit: Bernama

Garis Badai Dijangka Sepanjang Monsun Barat Daya, Ini Kesannya

Garis Badai Dijangka Sepanjang Monsun Barat Daya, Ini Kesannya

Di Malaysia, kita tidak mempunyai empat musim seperti negara yang berada di luar garisan Khatulistiwa. Negara kita hanya melalui dua musim iaitu musim Monsun Barat Daya dan Monsun Timur Laut.

Monsun Timur Laut merupakan musim hujan utama menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), manakala Monsun Barat Daya pula lebih kering dengan penurunan hujan bulanan pada tahap minimum.

Melihat kepada ramalan cuaca, Monsun Barat Daya sudahpun bermula pada beberapa hari lalu. MET Malaysia menerangkan keadaan cuaca sepanjang musim ini lebih kering dan bilangan hari tanpa hujan akan melebihi bilangan hari hujan.

Biarpun begitu, hujan lebat dan angin kencang masih berpotensi terjadi apabila berlakunya fenomena garis badai. Ringkasnya, fenomena ini melibatkan pembentukan barisan ribut petir apabila adanya penumpuan angin.

Bagi mengetahui dengan lebih lanjut tentang fenomena garis badai, berikut SK kongsikan maklumat penting daripada MET Malaysia.

Pengenalan fenomena garis badai

Menurut MET Malaysia, fenomena ini merupakan kelompok awan ribut petir aktif yang membentuk barisan di laut dan bergerak ke daratan. Keadaan ini kebiasaannya berlaku ketika Monsun Barat Daya, malah kerap terjadi pada waktu pagi dan malam.

Ketika fenomena ini berlaku, hujan lebat yang disertai angin kencang, guruh dan petir boleh terjadi. Bukan itu sahaja, banjir kilat juga berpotensi berlaku di beberapa kawasan.

Tanda-tanda kewujudan

Bagi memastikan anda peka dengan perubahan cuaca, kenal pasti beberapa tanda-tanda kewujudan ini.

Fenomena garis badai ini boleh dilihat apabila anda perhatikan langit mengikut arah laut. Jika anda ternampak awan jalur tebal yang naik meninggi terbentuk dan datang dari arah laut, itu merupakan salah satu tanda utama kewujudan fenomena ini.

Anda juga akan dapat merasai perubahan kelajuan angin yang meningkat secara mendadak, keras dan tidak menentu haluannya ketika kelompok awan menghampiri. Keadaan angin ketika ini sering dinamakan sebagai langkisau.

Ketika ini juga, suhu akan menurun secara mendadak.

Jika anda masih tidak pasti dengan tanda-tanda yang diperhatikan, anda juga boleh melihat sama ada fenomena tersebut menepati ciri-ciri ini atau tidak.

Ciri-ciri fenomena garis badai

Fenomena garis badai hanya berlaku ketika Monsun Barat Daya. Bagi anda yang berada berdekatan kawasan laut, anda akan dapat melihat kelompok awan ribut petir aktif yang berada dalam satu barisan di laut dan kelihatan bergerak ke daratan.

Adakah kelompok awan ribut petir ini mudah dilihat? Jawapannya ya. Kelompok awan ini boleh mencapai beratus kilometer panjang dan berterusan sehingga beberapa jam. Garis badai atau kelompok awan ribut petir aktif ini berpotensi berlaku di kawasan yang bersempadan dengan laut. Contohnya, pantai barat Semenanjung, bahagian barat Sabah dan juga bahagian barat Sarawak.

Fenomena ini juga dapat dilihat terbentuk pada waktu pagi atau malam.

Kesan

Ketika fenomena ini melanda, terdapat beberapa perkara yang perlu anda beri perhatian. Hujan lebat yang berlaku secara tiba-tiba boleh menyebabkan banjir kilat. Malah, keadaan cuaca ini berbahaya terhadap operasi perkapalan dan penerbangan.

Fenomena ini turut menyebabkan berlaku angin kencang, guruh dan petir selain kejadian laut bergelora serta berombak. Anda juga tidak digalakkan berada di luar berikutan fenomena ini mampu menyebabkan berlaku kerosakan harta benda dan kemudahan awam.

Apa yang perlu anda lakukan garis badai melanda?

Jika anda mendapati fenomena garis badai sedang berlaku, pastikan anda dan mereka yang berdekatan berada di tempat yang selamat, sebaiknya berada di dalam bangunan. Hentikan semua aktiviti laut termasuk berdekatan pantai. Anda juga dinasihatkan berpindah ke tempat yang lebih tinggi sekiranya banjir kilat dijangka berlaku.

Sumber: Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia)

BACA: Suara & Persembahan Padu, ‘Michael Jackson’ Bukit Bintang Curi Perhatian

BACA: Percaya Tafsiran ChatGPT Dakwa Suami Curang, Wanita Failkan Cerai

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.