Cara Mohon Hibah Melalui Majlis Agama Islam Selangor
Hibah merupakan akad pemberian harta seseorang kepada individu yang lain secara sukarela ketika pemilik harta tersebut masih hidup.
Hikmah di sebalik pemberian hibah termasuk membantu waris atau individu fakir miskin yang sedang menghadapi ujian hidup. Amalan sunat ini juga dapat memupuk kasih sayang antara anggota masyarakat.
Menurut penjelasan di laman sesawang Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), pemberian hibah tidak mempunyai kadar yang ditetapkan bagi setiap individu seperti wasiat. Namun begitu, pemilik harta disarankan agar berlaku adil kepada anak-anak. Biarpun begitu, jika hibah diberi ketika pemilik harta sudahpun sakit tenat, ia hanya boleh diberi tidak melebihi satu pertiga hartanya dan tidak boleh dihibahkan kepada ahli waris.
Sebagai pengetahuan pembaca, hibah yang telah dilakukan tidak boleh dibatalkan tetapi para fuqaha menjelaskan terdapat pengecualian terhadap perkara ini. Pembatalan hibah daripada bapa, ibu, datuk atau nenek kepada anak atau cucunya adalah harus.
Jenis hibah
Hibah terbahagi kepada dua jenis iaitu hibah mutlak dan hibah amanah.
“Hibah mutlak merupakan suatu akad yang mengandungi pemberian milik oleh seseorang secara sukarela terhadap hartanya kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya tanpa balasan berdasarkan rukun, syarat, dan qabd yang telah ditetapkan oleh hukum syarak.
“Hibah amanah pula suatu akad yang mengandungi pemberian milik oleh seseorang secara sukarela terhadap hartanya kepada kanak-kanak atau Orang Kurang Upaya (OKU) pada masa hidupnya tanpa balasan melalui pemegang amanah berdasarkan rukun, syarat, dan qabd yang telah ditetapkan oleh hukum syarak.
“Harta Hibah Amanah akan dipegang oleh Pemegang Amanah yang bertanggungjawab menguruskan hal ehwal harta tersebut bagi kegunaan dan manfaat penerima hibah,” jelas MAIS.
Setelah mengetahui serba sedikit asas kepada hibah, mari kita lihat bagaimana caranya untuk membuat permohonan hibah. Sebenarnya anda tidak perlu bersusah payah memohon bantuan pihak ketiga, anda sendiri sebagai pemilik harta boleh memohon hibah di mana-mana pejabat Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).
Berikut merupakan cara buat permohonan hibah yang dikongsikan oleh Pejabat Majlis Agama Islam Selangor. Terdapat dua proses yang perlu dilalui iaitu proses permohonan dokumen perisytiharan hibah secara dalam talian dan proses pelaksanaan hibah.
Proses permohonan dokumen perisytiharan hibah secara dalam talian
1. Pengguna daftar akaun sistem SISWA.
2. Sahkan eKYC penghibah.
3. Isi maklumat penghibah melalui Perancang Pewarisan Islam (PPI) dan individu.
4. Isi maklumat harta hibah, penerima hibah atau pemegang amanah.
5. Bayaran permohonan secara dalam talian atau tunai.
6. Lafaz ijab, Qabul dan Qabd secara dalam talian.
7. Pengesahan OTP Hibah.
8. Dokumen Perisytiharan Hibah dimeterai dan terima Kad Perisytiharan Hibah MAIS.
Setelah selesai, pemohon perlu melalui proses seterusnya pula.
Proses pelaksanaan hibah
1. Wakalah pelaksanaan hibah.
2. Pelaksanaan hibah melalui pindahmilik di Pejabat Tanah dan Galian (sekiranya berkaitan).
3. Pendaftaran pindahmilik (sekiranya berkaitan).
4. Pengesahan hibah di Mahkamah Syariah (sekiranya berkaitan).
5. Terima permohonan pembatalan (sekiranya berkaitan).
Bagi negeri yang lain, anda boleh rujuk laman sesawang Majlis Agama Islam mengikut negeri masing-masing berikutan setiap pejabat MAIN mempunyai prosedur yang berbeza. Semoga bermanfaat.
Sumber: Majlis Agama Islam Negeri Selangor
BACA: MAIS Lancar Sistem SISWA, Inovasi Baru Urus Wasiat Dan Hibah Atas Talian Secara Mudah Dan Pantas
BACA: Ahmad Fauwaz Fadzil Dilantik Mufti Wilayah Persekutuan Baharu