Siakap Keli
jenis penghadang jalan
Kredit: Bernama/GIPT

Jenis Penghadang Jalan Digunakan Di Luar Negara

Jenis Penghadang Jalan Digunakan Di Luar Negara

Keselamatan jalan raya merupakan aspek penting dalam sistem pengangkutan sesebuah negara. Bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kecederaan maut, pelbagai pendekatan telah diperkenalkan, antaranya ialah pemasangan penghadang jalan.

Penghadang jalan berfungsi sebagai pelindung fizikal yang mengawal pergerakan kenderaan apabila berlaku perlanggaran, selain membantu mengelakkan kenderaan daripada terbabas ke kawasan berbahaya seperti gaung, cerun atau laluan bertentangan.

Fungsi utama penghadang jalan bukan sahaja untuk mengelakkan impak secara langsung tetapi juga untuk menyerap tenaga perlanggaran dan mengurangkan kecederaan pemandu serta penumpang. Ia juga membantu memastikan kestabilan kenderaan selepas perlanggaran agar tidak terlibat dalam kemalangan sekunder. Justeru itu, pemilihan jenis penghadang yang bersesuaian dengan lokasi dan tahap risiko sangat penting dalam merancang sistem keselamatan jalan yang berkesan dan lestari.

Terdapat pelbagai jenis penghadang jalan yang digunakan di negara luar, malah ada darinya juga turut digunakan di Malaysia. Pemilihan jenis penghadang jalan ini bergantung kepada bentuk muka bumi, kadar lalu lintas dan risiko kemalangan.

Penghadang jalan tidak berubah bentuk

Salah satu jenis penghadang yang paling kukuh ialah penghadang jalan tidak berubah bentuk atau rigid barrier. Penghadang jenis ini direka untuk memberikan ketahanan maksimum terhadap hentakan dan tidak mengalami sebarang perubahan bentuk semasa perlanggaran. Ia sering digunakan di lebuh raya yang berisiko tinggi kerana mampu menghalang kenderaan daripada menembusi kawasan berbahaya.

Contoh paling biasa ialah penghadang konkrit yang digunakan di pembahagi jalan dan penghadang parapet di jambatan yang berfungsi untuk mengelakkan kenderaan terjatuh dari laluan tinggi. Penghadang jalan jenis ini biasa digunakan di mana-mana negara. Begitu juga penghadang jalan jenis kedua iaitu jenis separa lentur.

Penghadang jalan separa lentur

Selain itu, terdapat juga penghadang separa lentur atau semi-rigid barrier yang mempunyai keupayaan menyerap tenaga hentaman secara sederhana dengan sedikit lenturan. Jenis ini seperti W-beam guardrail dan thrie-beam guardrail banyak digunakan di lebuh raya. Reka bentuk beralun pada permukaan keluli membantu menyerap hentakan dan mengalihkan kenderaan semula ke laluan yang betul. Ia sangat sesuai untuk laluan berkelajuan tinggi dan kawasan yang melibatkan kenderaan berat kerana memberikan keseimbangan antara kekuatan dan keanjalan. Penghadang jalan jenis ini sudah lama digunakan di UK.

Penghadang jalan boleh lentur

Penghadang jenis fleksibel pula direka untuk menyerap tenaga perlanggaran secara maksimum dengan membengkok lebih ketara apabila berlaku hentaman. Antara contohnya ialah cable barrier yang menggunakan kabel keluli di tengah-tengah lebuh raya bagi mengelakkan perlanggaran dari arah bertentangan. Satu lagi jenis ialah penghadang plastik berisi air yang sesuai digunakan di kawasan kerja jalan sementara kerana mudah dipasang, dialihkan dan memberikan rintangan terkawal apabila berlaku hentaman.

Beberapa kajian menunjukkan Australia, Sweden dan New Zealand banyak menggunakan penghadang jenis fleksibel. Namun, terdapat larangan penggunaan cable barrier dalam undang-undang EU berikutan risiko yang melibatkan penunggang motosikal.

Teknologi terkini yang semakin mendapat perhatian adalah roller barrier atau penghadang berputar yang tergolong dalam kategori crash cushion. Sistem ini direka bentuk untuk menyerap dan menghilangkan tenaga hentaman melalui penggelek berputar. Korea Selatan merupakan negara yang aktif membangunkan dan menggunakan sistem ini, terutama di kawasan selekoh atau simpang masuk keluar lebuh raya.

Jepun turut menggunakan penghadang ini di cerun dan selekoh tajam, manakala China, Turki dan India mula memperluaskannya ke lokasi berisiko tinggi.

Penghadang jalan roller barrier

Bahan utama penghasilan roller barrier ialah ethyl vinyl acetate (EVA), iaitu bahan yang tahan hentakan, tahan cuaca dan tidak rosak akibat pendedahan kepada cahaya UV. Apabila berlaku perlanggaran, sistem ini menyerap tenaga dan memperlahankan kenderaan secara berperingkat. Ia juga mengurangkan sudut hentaman dan menjadikan kenderaan lebih mudah dikawal, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan lanjutan.

Keupayaan sistem ini menyerap tenaga melalui putaran menjadikannya lebih selamat berbanding penghadang konvensional.

Antara ciri penting roller barrier ialah kemampuannya untuk menyerap hentakan tanpa menyebabkan kerosakan teruk kepada kenderaan. Warna terang dan keupayaan memantul cahaya menjadikannya mudah dilihat pemandu, terutama pada waktu malam atau ketika cuaca buruk. Ia juga berfungsi sama ada untuk menghalakan semula kenderaan ke laluan asal atau menghentikannya dengan selamat, bergantung kepada kekuatan hentaman.

Oleh sebab itu, ia sangat sesuai digunakan di kawasan berisiko tinggi seperti selekoh tajam, pintu masuk jambatan, terowong dan pembahagi lebuh raya.

Penggunaan roller barrier di Malaysia

Di Malaysia, teknologi roller barrier telah digunakan di Lebuhraya Karak, khususnya di kawasan bercerun yang sering berlaku kemalangan. Namun, penggunaannya tidak meluas di sepanjang lebuh raya kerana masih terdapat keperluan menggunakan penghadang konkrit di lokasi tertentu. Selain itu, ujian rintis pernah dijalankan sekitar tahun 2017 di FT15 Subang Pusingan U untuk menilai keberkesanan sistem ini di lokasi berisiko sederhana.

Faktor pemilihan jenis penghadang jalan

Pemilihan jenis penghadang jalan tidak boleh dibuat secara sembarangan. Beberapa faktor penting perlu dipertimbangkan termasuk tahap risiko kemalangan di lokasi tersebut, keadaan persekitaran seperti cerun atau cuaca serta kadar lalu lintas harian. Selain itu, ciri kekuatan hentaman, keterlihatan dan kemudahan pemasangan turut mempengaruhi keputusan.

Di kawasan bandar misalnya, keutamaan mungkin diberi kepada penghadang yang lebih mesra pejalan kaki, manakala lebuh raya memerlukan penghadang lebih tahan hentakan.

Akhir sekali, pemilihan penghadang jalan perlu memenuhi piawaian keselamatan nasional dan antarabangsa serta mengambil kira faktor kos jangka panjang. Roller barrier merupakan salah satu inovasi terkini yang dapat menambah baik sistem keselamatan jalan raya jika digunakan di lokasi yang tepat.

Gabungan antara teknologi moden, ketahanan bahan dan reka bentuk pintar menjadikannya satu pelaburan keselamatan yang berbaloi dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan dan melindungi nyawa pengguna jalan raya di seluruh dunia.

Sumber: IOP Science, Road Sky Guard Rail, Shindo Industries, Jabatan Kerja Raya (JKR) (1) (2), Global Highways, Bernama, Australasian College of Road Safety, NZ Transport Agency Waka Kotahi, MAT Foundry

BACA: JPJ Tahan Pemandu Bas Ekspres Positif Dadah Dalam Operasi Khas Aidiladha

BACA:Dakwaan Jalan Raya Di Lokasi Kemalangan Rosak Tidak Benar – Ahmad Maslan

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.