Siakap Keli
anak malaysia universiti indiana
Kredit: MARA USA

Peroleh 2A SPM, Kini Anak Malaysia Ini Raih Anugerah Tertinggi Universiti Di Indiana

Peroleh 2A SPM, Kini Anak Malaysia Ini Raih Anugerah Tertinggi Universiti Di Indiana

Ramai antara kita pernah berada di titik rendah dalam hidup, namun hanya segelintir yang mampu bangkit dan buktikan nilai sebenar diri.

Itulah kisah luar biasa seorang anak Malaysia, Zul Hakim Zulhaimi, yang membuktikan bahawa dengan semangat kental, apa pun boleh dicapai.

Zul Hakim baru-baru ini telah bergraduasi dari Purdue University, West Lafayette, Indiana, sebuah universiti terkemuka dunia dalam bidang kejuruteraan.

Lebih membanggakan, beliau bukan sahaja menggenggam dua sijil serentak, iaitu dalam jurusan “Mechatronics Engineering Technology” dan “Automation & Systems Integration Engineering Technology”.

Malah, beliau juga berjaya menamatkan pengajian lebih awal pada semester Spring 2025, berbanding jadual asal Fall 2025 yang ditetapkan oleh MARA.

Berani mencuba, tidak putus asa

Namun perjalanan cemerlang ini bukan bermula dengan jalan mudah.

Siapa sangka, anak muda ini asalnya hanyalah pelajar aliran sastera dengan hanya 2A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)?

Lebih menyedihkan, semua permohonannya untuk menyambung pengajian ke universiti awam tidak berjaya.

Namun Zul Hakim tidak menjadikan kegagalan itu sebagai noktah, sebaliknya sebagai titik permulaan untuk bangkit.

Pada tahun 2018, beliau mengambil keputusan berani untuk menyambung pengajian di German-Malaysian Institute (GMI) dalam bidang Diploma Kejuruteraan Teknologi Mekatronik.

Meski tidak mempunyai latar belakang aliran sains, beliau berbekalkan semangat dan ketekunan, berjaya menamatkan pengajian di GMI dengan keputusan cemerlang pada tahun 2021.

Kejayaan itu membuka lebih banyak peluang apabila beliau ditawarkan tajaan MARA untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Beliau memilih Purdue University, yang dikenali dengan kemajuan teknologi dan kecemerlangan akademiknya.

Di situlah, Zul Hakim bukan sahaja menggali ilmu, malah menyerlah dalam pelbagai projek dan inisiatif berimpak tinggi.

Antara pencapaian membanggakan beliau termasuk terlibat dalam pembangunan prototip exoskeleton pintar yang dilengkapi sensor daya dan sudut untuk kegunaan pembelajaran dan aplikasi industri.

Beliau juga dilantik sebagai Teaching Assistant bagi kursus Lean Six Sigma, satu pengiktirafan buat pelajar yang benar-benar menonjol.

Tambahan pula, beliau turut mewakili kumpulan dalam Tech Expo Purdue, membentangkan hasil inovasi kepada pihak industri dan akademik.

Kisah kejayaan jadi inspirasi

Dalam pada itu, Zul Hakim telah menerima Golden Honor Cord, iaitu lambang kecemerlangan akademik tertinggi yang dianugerahkan oleh universiti kepada graduan terbaik.

Kisah Zul Hakim adalah bukti bahawa permulaan yang sederhana bukan halangan untuk mencipta kejayaan luar biasa.

Apa yang penting ialah semangat, keazaman dan keyakinan pada diri sendiri.

Dari seorang pelajar yang mungkin dipandang sebelah mata, beliau kini berdiri sebagai simbol inspirasi anak muda Malaysia di pentas antarabangsa.

BACA: Ketahui Sebab Dunia ‘Kecoh’ Bila Iran Ugut Tutup Selat Hormuz

Sumber: MARA USA

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.