Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kren Tumbang Atas Kereta Api Bawa 195 Penumpang, Lebih 20 Maut

Sofea
kren tumbang atas kereta api
Kredit: AFP

Kren Tumbang Atas Kereta Api Bawa 195 Penumpang, Lebih 20 Maut

Thailand — Sekurang-kurangnya 22 orang disahkan maut selepas kren projek kereta api laju menghempap sebuah kereta api penumpang di wilayah Nakhon Ratchasima, timur laut ibu negara Bangkok

Rakaman dari lokasi kejadian yang disahkan AFP menunjukkan struktur kren yang patah terletak di atas tiang konkrit besar, dengan asap tebal memenuhi dari bangkai kereta di bawahnya.

“Sekitar jam 9 pagi, saya terdengar bunyi kuat, seolah-olah sesuatu meluncur turun dari atas, diikuti dua letupan.

“Apabila saya pergi melihat apa yang berlaku, saya mendapati kren itu berada di atas sebuah kereta api penumpang dengan tiga gerabak.

“Logam daripada kren itu kelihatan menghentam bahagian tengah gerabak kedua hingga membelahnya kepada dua,” kata penduduk tempatan, Mitr Intrpanya, 54, yang berada di lokasi kejadian.

Ketua polis daerah, Thatchapon Chinnawong, memberitahu AFP bahawa 22 kematian telah disahkan manakala 80 orang lagi cedera.

“Kami kini meminta pihak hospital mengesahkan berapa ramai yang berada dalam keadaan kritikal,” katanya.

Kredit: AFP

Kemalangan itu berlaku di tapak pembinaan yang merupakan sebahagian daripada projek bernilai AS$5.4 bilion yang disokong Beijing untuk membangunkan rangkaian kereta api laju di Thailand.

Projek itu bertujuan menghubungkan Bangkok ke Kunming di China melalui Laos menjelang 2028, sebagai sebahagian daripada inisiatif infrastruktur besar China, Belt and Road.

BACA JUGA: Guru Besar, Isteri Ditemukan Maut Dengan Kesan Kecederaan Serius Di Sri Aman

Rakaman siaran langsung media tempatan menunjukkan petugas penyelamat bergegas ke lokasi, dengan sebuah kereta api berwarna terang tergelincir dan terbalik ke sisi ketika asap berkepul dari serpihan.

Kredit: AFP

Ketua polis memaklumkan kepada AFP bahawa operasi menyelamat dihentikan sementara susulan kebocoran bahan kimia di lokasi kejadian.

Sementara itu, jabatan wilayah Nakhon Ratchasima berkata kereta api tersebut dalam perjalanan dari Bangkok ke wilayah Ubon Ratchathani.

Menteri Pengangkutan, Phiphat Ratchakitprakarn, berkata seramai 195 penumpang berada di dalam kereta api berkenaan dan pihak berkuasa sedang berusaha mengenal pasti mangsa yang terkorban.

Beliau turut mengarahkan pegawai berkaitan untuk menyiasat punca kemalangan.

Thailand mempunyai kira-kira 5,000 kilometer rangkaian kereta api, namun keadaan sistem yang uzur sejak sekian lama mendorong orang ramai memilih perjalanan melalui jalan raya.

Apabila siap kelak, laluan kereta api laju sepanjang 600 kilometer itu akan menggunakan tren buatan China yang bergerak dari Bangkok ke Nong Khai, di sempadan Sungai Mekong dengan Laos, pada kelajuan sehingga 250 km sejam.

Sumber: AFP